Berita UtamaDunia

Syria kutuk lawatan Setiausaha Negara AS ke Bukit Golan

Mike Pompeo bertindak provokatif langgar resolusi antarabangsa

AMMAN, 4 Rabiulakhir 1442H, Jumaat – Syria mengutuk lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo ke Bukit Golan yang ‘dijajah’ pada hari Khamis dengan mendakwa, ia tindakan provokatif sebelum Presiden, Donald Trump melepaskan jawatannya.

Pompeo menjadi Setiausaha Negara AS pertama yang melawati pendudukan haram Tebing Barat Israel dan Bukit Golan.

Palestin dan negara-negara Arab menegaskan langkah itu akan membantu mengukuhkan kawalan Israel ke atas wilayah yang dijajah.

Menurut sumber kerajaan yang dipetik media negara, Syria menggesa masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk lawatan ‘provokatif’ itu, yang menurutnya melanggar resolusi antarabangsa.

“Kunjungan itu adalah langkah provokatif sebelum berakhirnya pentadbiran Trump dan pelanggaran terhadap kedaulatan kita,” kata kenyataan itu.

Trump menggembirakan Israel pada tahun 2019 dengan mengakui tuntutan negara penjajah itu terhadap kedaulatan ke atas Bukit Golan.

Bukit itu adalah sebahagian dari Syria hingga tahun 1967, ketika Israel merebut sebahagian besar wilayah tersebut dalam Perang Enam Hari, menjajahnya serta menganeksasi pada tahun 1981.

Aneksasi sepihak itu tidak diakui di peringkat antarabangsa dan Syria menuntut pengembalian wilayah berkenaan.

Syria cuba mendapatkan kembali bukit i tu dalam perang Timur Tengah 1973, namun gagal.

Israel dan Syria menandatangani gencatan senjata pada tahun 1974 dan sejak itu Golan agak sunyi. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button