Berita Utama

Ada banyak lagi tanah di Pahang diceroboh secara haram?

Tahun ini sahaja, sebanyak 4 kes besar berjaya didedahkan

BANGI, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Jangan sangka kes pencerobohan tanah secara haram hanya berlaku di Raub, Pahang sahaja, dakwa Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA).

Badan bukan kerajaan (NGO) itu mendakwa, masih banyak lagi daerah di negeri Pahang di mana hutan simpan mahupun tanah kerajaan diceroboh oleh pihak tertentu untuk mengaut hasil secara haram. 

“Boleh dikatakan hampir di semua daerah di negeri Pahang ada masalah ini. 

“Sebab itulah kita bersungguh mahu hantar memorandum dan bersemuka dengan Menteri Besar Pahang bagi menyampaikan kegusaran rakyat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Kata PEMBELA, antara empat kes paling popular di negeri terbesar Semenanjung itu, bagi tahun ini sahaja termasuk di Raub, Jengka, Maran dan Rompin.

“Tetapi tidak bermakna hanya ada empat kerana ada lagi beberapa kes yang dilaporkan oleh media di daerah-daerah lain. 

“Itu yang dilaporkan oleh media. Yang tidak dilaporkan dan yang tidak ‘terkantoi’ berapa banyak lagi? Dan itu juga hanya untuk tahun 2020. Tidak termasuk tahun-tahun sebelumnya lagi. 

“Masih lagi nak kata isu ini hanya isu remeh?,” soalnya.

Rabu lalu, PEMBELA menyerahkan memorandum bantahan rakyat terhadap pencerobohan tanah di Pahang di pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang.

Memorandum telah disampaikan oleh Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Tajul Razi Abdul Aziz di perkarangan pejabat Menteri Besar.

Pada sidang media selepas penyerahan memorandum, Aminuddin meluahkan kekecewaan kerana Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak mahu bertemu dan hanya menghantar wakilnya untuk bertemu dengan mereka. 

Sebelum ini, PEMBELA telah menghantar memorandum yang sama ke pejabat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang dan Putrajaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button