Berita UtamaDunia

Kabul diserang puluhan roket, korban 8 nyawa orang awam

Kementerian Dalam Negeri dakwa militan Taliban dalang serangan

KABUL, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Beberapa siri letupan dilaporkan menggegarkan ibu negara Afghanistan, Kabul yang padat dengan penduduk sehingga menyebabkan sejumlah nyawa terkorban.

Letupan itu dilaporkan turut berlaku di Kedutaan Iran di ibu kota Afghanistan.

Kementerian Dalam Negeri Afghanistan mengatakan, puluhan roket melanda Kabul pada awal Sabtu, menyasarkan beberapa kawasan di bahagian utara dan tengah bandar, termasuk Zon Hijau yang sangat kukuh menempatkan kedutaan dan firma antarabangsa.

Kedutaan Iran mengumumkan di Twitter bahawa bangunan utamanya telah terkena serpihan roket setelah mendarat di lokasi. Namun tiada korban nyawa dicatatkan.

Bagaimanapun, serangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang awam mati dan lebih daripada 30 yang lain cedera, dengan kementerian menyalahkan militan Taliban untuk serangan maut itu.

“Militan melepaskan 23 roket ke Kabul. Berdasarkan maklumat awal, lapan orang mati syahid dan 31 yang lain cedera,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Tariq Arian.

Jurucakap polis Kabul, Ferdaws Faramarz juga mengesahkan jumlah kematian dan maklumat yang sama.

Letupan itu berlaku selepas dua letupan, termasuk satu yang melanda sebuah kereta polis, membunuh seorang anggota polis dan mencederakan tiga yang lain.

Dalam enam bulan terakhir, kumpulan militan Taliban telah melakukan 53 serangan bom dan 1,250 letupan yang menyebabkan 1,210 orang awam mati dan 2,500 cedera, menurut Kementerian Dalam Negeri Afghanistan.

Kabul juga menjadi lokasi dua serangan mengerikan ke atas institusi pendidikan pada awal bulan ini yang membunuh hampir 50 orang dan mencederakan puluhan yang lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button