Berita Utama

Kebun haram: Mustahil pihak berkuasa tak tahu!

Syor rotasi kakitangan jabatan kritikal setiap 3 bulan

BANGI, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Adalah menjadi suatu perkara mustahil sekiranya pihak berkuasa tidak menyedari isu pencerobohan hutan yang sudah berlaku di sesuatu kawasan sejak sekian lama.

Ini kerana sama ada jabatan di peringkat negeri atau Persekutuan, mereka memiliki tanggungjawab jelas dalam memastikan kawasan selian dipantau dan terhindar daripada sebarang aktiviti mencurigakan.

Oleh yang demikian, Presiden Sahabat Alam Sekitar Malaysia, Datuk Seri Abdul Malek Yusof percaya ada perkara yang ‘tidak kena’ dalam jabatan berkaitan dan perkara itu perlu diperbetulkan dengan segera.

“Memang serius benda itu (pencerobohan hutan), di mana pihak berkuasa saya nak tanya. Pihak berkuasa kena main peranan, orang ceroboh memang boleh ceroboh. Macam rumah kitalah kalau kita tak jaga orang masuk macam mana.

“Mustahil benda itu tak tahu, kalau tak terlibat dengan orang dalam, mustahil pada saya,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mendedahkan, 2,500 hektar tanah hutan simpan yang diteroka dan diceroboh pekebun haram bagi tujuan penanaman durian Musang King, umpama 3,475 padang bola.

Ini kerana, satu hektar tanah adalah bersamaan dengan 2.47 ekar, menjadikan keseluruhan tanah yang diteroka adalah 6,254 ekar – iaitu jumlah bagi 3,475 padang bola yang berkeluasan 1.8 ekar.

Menurut pertubuhan berkenaan, keluasan tanah yang diceroboh itu sudah membayangkan jumlah kerugian dihadapi kerajaan negeri Pahang, termasuk keuntungan dinikmati oleh kumpulan pekebun haram.

Dalam pada itu, Abdul Malek mencadangkan kakitangan kerajaan yang berkhidmat di jabatan kritikal seperti Jabatan Hutan wajar ditukar setiap tiga ke lima bulan sekali.

Jelasnya, ini penting bagi menyukarkan sebarang bentuk urusan ‘melobi’ pihak berkuasa oleh mereka yang berkepentingan bagi memudahkan sesuatu urusan berlangsung.

“Bagi saya kena rombak habis semua, tiga bulan tukar biar dia pening lalat. Untuk jabatan hutan, tanah sama sahaja tukar sahaja.

“Penguatkuasa kena kuat. Pegawai kerajaan yang pentingnya dia nakkan kenaikan pangkat, kalau tak nak pangkat duduk tempat itu sahaja kena check apa berlaku di situ,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button