Berita Utama

Persoal belanjawan Bumiputera, Khalid hanya buat dirinya dibenci

Cukuplah rakyat peribumi ditindas, dizalimi di negara sendiri

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Sikap yang ditonjolkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad apabila menyifatkan Belanjawan 2021 tidak adil kepada rakyat bukan Bumiputera, hanya akan menimbulkan rasa benci rakyat peribumi kepadanya serta partinya.

Naib Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz Masridzi Sat berkata, di kala pemimpin DAP mendakwa mereka membela hak rakyat peribumi Melayu, secara tiba-tiba Khalid pula mengeluarkan kenyataan seolah bersikap anti terhadap kaumnya sendiri. 

“Tanya Khalid Samad itu dia orang Melayu ke, orang Bumiputera ke? Yang nak bising sangat atau sibuk pertahankan kaum lain itu pasal apa? Tidakkah kita kaum peribumi dan majoriti dalam negara ini?

“Cukuplah 22 bulan dulu rakyat dah lihat kaum peribumi disisih dan diganggu hak kita walaupun Melayu adalah penduduk majoriti dalam negara ini yang dijamin hak dalam Perkara 153 Perlembagaan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Membidas lanjut kenyataan Khalid, Ustaz Masridzi berkata, kerajaan sekarang berhak untuk membetulkan kembali dasar kerajaan dulu yang bersikap terlalu longgar.

“Terimalah hakikat, takdir bahawa kerajaan kamu telah tumbang dan majoriti rakyat Bumiputera telah benci kerana sikap buruk yang ada dalam diri kalian semua yang tidak berani membela hak agama Islam, raja, bangsa dan negara ini sehingga golongan majoriti peribumi negara kita rasa dizalimi dan ditindas.

“Kalian rajin sangat melayani kerenah rasis kaum minoriti sehingga mengabaikan rakyat majoriti Bumiputera.

“… sehingga lahir gelombang kebangkitan rakyat bawahan peribumi Melayu yang rasa tidak puas hati dan marah kerana pihak tersebut telah berani mengganggu-gugat hak Islam, raja, bangsa dan bahasa orang Melayu Bumiputera dalam negara kita ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Ustaz Masridzi menggesa Khalid bersama partinya, Parti Amanah Negara (PAN) untuk kembali menilai perjuangan dan wadah asal mereka yang kini jelas sudah tersasar.

“Bertaubatlah, kembalikanlah kepada dasar asal perjuangan kalian yang dulunya konon nak membela dan memperjuangkan nasib kaum Bumiputera dalam negara kita ini,” tegasnya.

Terdahulu, Khalid mendakwa peruntukan dalam Belanjawan 2021 kepada bukan Bumiputera tidak adil dan dibuat sebagai belanjawan pilihan raya untuk menarik sokongan Melayu-Islam.

Pengarah Komunikasi PAN itu berkata, dengan jumlah wang yang besar diperuntukkan kerajaan dalam Belanjawan 2021, ia sewajarnya diagihkan secara adil dan saksama kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Namun, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempertahankan Belanjawan 2021 itu dan menekankan bahawa Bumiputera layak diberikan peruntukan yang lebih.

“Peruntukan besar yang diberikan untuk dibelanjakan buat membantu Bumiputera bukanlah satu bentuk ketidakadilan tetapi realitinya memang Bumiputera adalah yang paling terkebelakang dan memerlukan dari segi ekonomi,” katan Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button