Berita Utama

Polis sekongkol aktiviti haram, korupsi pengkhianat negara

Wajar diambil tindakan bukan sekadar berdepan rombakan

BANGI, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Anggota polis yang didapati terlibat dalam aktiviti haram dan korupsi wajar disifatkan sebagai pengkhianat negara.

Hal ini kerana tanggungjawab sebagai polis yang telah diamanahkan oleh rakyat adalah untuk menjaga keselamatan dengan penuh integriti bukan bersekongkol dengan penjenayah.

Sehubungan itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, secara moral dan prinsipnya, mereka perlu diambil tindakan bukan hanya berdepan rombakan.

Tegas beliau lagi, undang-undang tidak boleh melindungi sesiapa pun hatta penguatkuasa sekali pun.

“Kenyataan Ketua Polis Negara adalah bukti bahawa memang wujud penglibatan anggota-anggota penguatkuasa dalam aktiviti-aktiviti haram dan korupsi.

“Jadi, Ketua Polis Negara perlu tegas jika benar-benar ingin membuat perubahan atau kenyataan ini hanyalah retorik semata-mata.

“Rakyat sudah lama bersuara tentang kepincangan yang wujud dalam kalangan penguatkuasa, termasuklah polis. Inilah masanya Ketua Polis Negara mendengar seruan rakyat dan membersihkan imej PDRM yang sudah lama tercalar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan dirombak setelah beberapa pegawai dipercayai bersekongkol dengan sindiket penjenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, jabatan pengurusan Bukit Aman telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menyaring semua polis yang berkelayakan untuk menjalankan tugas mereka di jabatan-jabatan tersebut.

Abdul Hamid berkata, pihaknya kini dalam proses menukarkan segelintir pegawai dan anggota dari D7 dan Narkotik yang disyaki mengambil kesempatan daripada sindiket tertentu atau penjenayah yang menjalankan kegiatan perjudian dan dadah.

Dalam pada itu, Aminuddin percaya bukan sedikit bayaran diterima oleh mereka yang terlibat dalam korupsi, malah ada mencecah jutaan ringgit.

Beliau turut mempersoalkan sekiranya rakyat akan percaya dan mengharap polis untuk menjaga keselamatan negara selepas mendengar kenyataan Ketua Polis Negara itu.

“Melindungi mereka yang terlibat dalam sebarang korupsi ini bererti kita juga melindungi dalang di sebalik aktiviti-aktiviti haram di negara kita.

“Desakan agar berlakunya pembersihan secara serius terhadap anggota-anggota penguatkuasa yang terlibat dalam korupsi perlu disuarakan dengan lantang oleh kita semua sebagai rakyat,” katanya.

Beliau juga yakin semua pihak mengharap pembersihan berlaku di agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jabatan kehakiman, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pejabat tanah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button