Berita Utama

Tambah baik panduan cegah COVID-19 jika ada pilihan raya

Korea Selatan tak halang pesakit COVID-19 undi, sedia saluran khas

BANGI, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Penambahbaikan garis panduan pencegahan COVID-19 perlu dilakukan sekiranya pilihan raya dilaksanakan.

Penambaikan pengurusan itu mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan petugas serta pengundi dengan merujuk jenis pilihan raya.

Pegawai Penyelidik Bahagian Penyelidikan dan Perpustakaan, Parlimen, Siri Fahlizah Padlee berkata, antara cadangan penambaikan adalah dengan menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas, memperkenalkan kaedah undi pos, menyediakan akses tambahan pada saluran bagi tempat mengundi dan pelaksanaan kempen secara dalam talian serta melalui siaran televisyen.

Siri Fahlizah berkata, ia adalah contoh garis panduan pelaksanaan oleh negara seperti Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Singapura yang mengadakan pilihan raya ketika pandemik COVID-19.

“Garis Panduan Pencegahan COVID-19 bagi Pelaksanaan Pilihan Raya yang dibentuk sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini menjadi rujukan kepada petugas, orang awam dan parti politik. Ia juga diguna pakai ketika PRK Slim dan PRN Sabah.

“Maklumat dalam garis panduan ini merangkumi taklimat petugas pilihan raya, penamaan calon, proses cetakan dan semakan kertas undi, proses pengeluaran, penerimaan dan pengiraan undi pos, hari semakan isi peti undi, tempoh berkempen, hari mengundi awal atau hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi,” katanya menulis di Berita Harian hari ini,

Mengulas lanjut, Siri Fahlizah berkata, keutamaan menambah baik garis panduan itu adalah langkah pencegahan jangkitan COVID-19 dalam kalangan orang awam dan petugas jika pilihan raya diadakan kelak.

Beliau berkata, pencegahan boleh dilaksanakan dengan menyediakan PPE kepada petugas seperti apron, baju sut, sarung tangan, topeng dan peralatan bernafas (respirator) untuk melindungi mereka daripada titisan batuk, bersin atau cecair badan daripada pesakit dijangkiti serta daripada permukaan tercemar,

Jelasnya, pemakaian PPE dilaksanakan petugas pada pilihan raya di Korea Selatan pada April lalu.

Selain itu, Siri Fahlizah menekankan bahawa jumlah pengundi di tempat pengundian juga penting bagi langkah pencegahan.

Memberi contoh New Zealand, beliau berkata, orang kurang upaya (OKU) diberi peluang mengundi melalui pos atau wakil supaya mereka dapat mengundi lebih awal sebelum hari pengundian.

Katanya, perkembangan pengundian melalui pos juga dilaksanakan pada Pilihan Raya Queensland, Australia, yang memberi pilihan kepada orang awam mengundi awal dalam tempoh 11 hari sebelum hari pengundian sebenar dengan 200 tempat pengundian disediakan.

“Penambahan akses pada saluran tempat mengundi dilaksanakan pada pilihan raya di Singapura. Pihak berkuasa menyediakan penambahan tempat saluran mengundi, iaitu 220 daripada jumlah keseluruhan, iaitu 1,100.

“Penambahan saluran mengundi ini, menetapkan 600 pengundi bagi setiap saluran tempat pengundian. Penetapan jumlah angka ini berbeza daripada pilihan raya sebelum penularan pandemik COVID-19 berlaku, iaitu setiap saluran tempat mengundi boleh menempatkan 2,400 sehingga 3,000 pengundi berdaftar,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan Korea Selatan tidak menghalang pesakit COVID-19 mengundi ketika pilihan raya lalu.

Hal ini kerana negara itu menyediakan lapan tempat saluran pengundian khas kepada lebih 3,000 pesakit COVID-19 dan 900 petugas kesihatan.

Jelasnya, usaha itu dilaksanakan bagi mengelakkan kesesakan pada hari pengundian dengan mengurangkan jumlah pengundi yang ramai.

Malah, katanya, hak dan tanggungjawab mengundi juga tidak dinafikan meskipun disahkan sebagai pesakit COVID-19.

“Pelaksanaan kempen secara dalam talian mengubah kaedah kempen secara konservatif seperti kempen dari rumah ke rumah dan ceramah terbuka. Kempen secara dalam talian dilaksanakan di Korea Selatan dan sekatan dikuatkuasakan kepada parti politik untuk mengadakan ceramah umum di tempat awam.

“Parti politik yang bertanding juga mengambil pendekatan baharu dengan menggunakan platfom media sosial dan teknologi realiti berperantara atau augmented reality (AR).

“Di Singapura, parti politik berkempen secara dalam talian dan melalui siaran televisyen nasional. Setiap calon bertanding diberi masa tiga minit, manakala kempen secara berkumpulan oleh parti politik diberi masa 12 hingga 15 minit bagi setiap sesi siaran,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button