Berita Utama

Warga asing dalangi kegiatan lombong emas haram di Lipis, Pahang

Suspek pemegang kad UNHCR guna kaedah palong, pam air, jentera

LIPIS, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis mengesan kegiatan melombong emas secara haram yang didalangi oleh dua lelaki warga asing.

Kegiatan itu dikesan dijalankan dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai, di sini, kelmarin.

Pegawai PHD Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, anggota Unit Penguatkuasa PHD Lipis terpaksa berjalan kaki sejauh tujuh kilometer dan mengharungi dua anak sungai untuk sampai ke lokasi, Sungai Kasai menjadi pusat kegiatan melombong secara haram itu.

Katanya, kegiatan berada dalam Kompatmen 128, 110 dan 111 Hutan Simpan Ulu Jelai yang sebelum ini terkenal dengan kegiatan melombong emas secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab dilakukan secara individu dan berkumpulan.

“Ketika serbuan dilakukan dua lelaki warga Myanmar berumur 26 dan 30 tahun pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan.

“Mereka dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong berskala sederhana itu dengan menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Nor Shahrini berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit menjadikan sepanjang Sungai Kasai sebagai lokasi utama kegiatan melombong.

“Jengkaut digunakan untuk mereka membuat dan mengambil tanah bagi proses menapis bahan galian menggunakan palong besi.

“Dua lelaki terbabit dipercayai berpengalaman luas mencari gali bahan galian terutama emas, mereka juga mendapat sokongan beberapa individu yang bertindak menguruskan kegiatan itu,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya bertindak menyita kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger, jengkaut, palong, enjin pam air dan enjin kuasa elektrik.

“Tinjauan secara berterusan akan dilakukan di kawasan terbabit bagi memastikan kegiatan melombong secara haram tidak berlaku lagi selepas ini.

“PHD Lipis memandang serius kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini oleh pihak tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan melombong emas secara haram dan tindakan tegas menanti sindiket terbabit,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button