Berita Utama

3 kluster baharu dikenal pasti, 4 diisytihar tamat

167 kluster aktif dipantau, 54 lapor pertambahan kes

PUTRAJAYA, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu hari ini, manakala empat kluster diisytihar tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiga kluster baharu berkenaan ialah Kluster Pengkalan Barat, Kluster Bakti dan Kluster Bayam Indah.

Dr Noor Hisham berkata, empat kluster diisytihar tamat adalah Kluster Kasih, Kluster Baiduri, Kluster Long dan Kluster Bestari.

Memperincikan kluster baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Pengkalan Barat membabitkan Daerah Barat Daya di Pulau Pinang serta Daerah Kerian, Kuala Kangsar dan Kinta di Perak dengan kes indeks (kes ke-42,002) dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 10 November lepas.

“Sehingga hari ini sejumlah 251 individu telah disaring, dengan 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Kluster Bakti pula ​​​​​​membabitkan sebuah penjara dalam Daerah Seremban, Negeri Sembilan dengan kes indeks (kes ke-54,624) merupakan seorang banduan yang dilaporkan positif COVID-19 melalui saringan kemasukan tahanan ke penjara.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini sejumlah 481 individu telah disaring, dengan 16 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster itu.

Beliau berkata, Kluster Bayam Indah pula membabitkan Daerah Kulim dan Kuala Muda di Kedah dengan sejumlah 70 individu telah disaring dengan 10 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini setakat hari ini.

“Kes indeks (kes ke-53,580) bagi Kluster Bayam Indah dilaporkan positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala semalam,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 167 kluster, dengan 54 daripadanya melaporkan pertambahan kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button