Berita UtamaUncategorized

Amaran cuaca buruk di beberapa kawasan utara Semenanjung

Hujan berterusan sedang berlaku di negeri pantai barat

KUALA LUMPUR, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengemas kini amaran cuaca waspada (kuning) yang dikeluarkan petang semalam untuk Perlis dan beberapa kawasan di Kedah serta Perak, kini bertukar kepada amaran cuaca buruk (jingga).

Amaran ini berkuat kuasa sehingga esok berikutan hujan lebat yang dijangka berterusan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon dalam satu kenyataan berkata, terdapat pertambahan kawasan bagi amaran cuaca waspada peringkat kuning, dengan hujan lebat dijangka berlaku di kawasan Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru, Johor yang juga berkuat kuasa sehingga esok.

“Keadaan hujan berterusan sedang berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung.

“Amaran cuaca buruk (jingga) berkuat kuasa di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), dan Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama dan Hulu Perak).

Angin kencang barat laut dan timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5-meter dijangka berlaku di perairan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu dalam tempoh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit, menurut kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button