Berita Utama

Bajet 2023 perlu berhemah, ekonomi berkembang perlahan

Tahun depan lebih mencabar, rakyat mesti bijak berbelanja

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 1 Rabiulawal 1444H, Rabu – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 atau Bajet 2023 – yang akan dibentang Jumaat depan – perlu menyeluruh dan merangkumi pelbagai aspek.

Belanjawan yang ditunggu-tunggu seluruh rakyat ini mestilah berhemah supaya dapat memacu ekonomi negara ke arah lebih baik, kata pemerhati ekonomi bebas, Dr Baayah Baba.

“Ekonomi kita sudah mula berkembang. Pertumbuhan dipacu oleh permintaan dalam negara.

“Juga harga minyak yang agak tinggi sekali gus memberi pulangan yang baik kepada Petronas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan rakyat supaya bijak berbelanja ekoran Malaysia dijangka berdepan persekitaran amat mencabar tahun hadapan dengan ekonomi berkembang perlahan.

“Belanja yang perlu sahaja dan simpan apa yang boleh,” katanya.

Ditanya mengenai risiko banjir serta perbelanjaan agensi kerajaan terhadap kesannya, beliau berkata, ia satu fenomena yang biasa melanda negara.

“Insya-Allah ia boleh ditangani dengan baik oleh agensi yang berkenaan,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan, negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan berkenaan.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Bahkan, fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button