Berita Utama

Patut haramkan terus arak

Minuman keras bawa mudarat kepada masyarakat, negara

BANGI, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Rakyat pasti hidup aman sekiranya minuman keras serta bir diharamkan daripada dijual di kedai runcit serta serbaneka di seluruh negara.

Ini kerana menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pengambilan setin minuman keras yang mengandungi lima peratus alkohol pun sudah mampu memberi kesan kepada kestabilan fikiran dan kewarasan individu ketika memandu.

Laporan MIROS itu turut diperkukuhkan lagi dengan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merekodkan sebanyak 637 kematian sepanjang tempoh lima tahun iaitu dari 2014 hingga 2018, berpunca daripada kemalangan membabitkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol (DUI).

Ketua Perhubungan Negeri (KPN) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Melaka, Ustaz Ir Mohd Khoushaini Mohd Naim berkata, apabila akal rosak, seseorang manusia itu akan cenderung melakukan kejahatan yang lain seperti membunuh, merogol dan mencuri.

Bahkan katanya, arak juga meruntuhkan institusi keluarga serta membawa mudarat kepada masyarakat dan negara.

“Kerana itulah kita melihat kebanyakan agama lain juga mengharamkan arak di dalam kitab-kitab mereka.

“Ini kerana kesan dan akibatnya lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan kepada manusia. Kemudaratan hendaklah disingkirkan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, beliau menggesa pihak berwajib menyelesaikan isu arak ini daripada akarnya berikutan telah meragut ramai nyawa akibat insiden pemandu mabuk.

“Jika negara bukan Islam seperti Taiwan memperuntukkan hukuman mati ke atas pemandu mabuk yang menyebabkan kematian, maka Malaysia sebagai negara Islam sepatutnya lebih serius,” katanya.

Justeru, ISMA Melaka menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didukung oleh majoriti umat Islam negara ini bertindak lebih tegas.

“Haramkan terus kejahatan arak ini, agar rakyat dapat hidup bahagia, aman dan sentosa.

“Walau apapun penjelasan yang diberikan, kehilangan satu nyawa yang tidak berdosa tetap tidak boleh dimaafkan. Islam memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Biarpun begitu, tindakan DBKL dipertikai – Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mendakwa, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, peraturan itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.

Menurut Kok Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button