Dunia

Rasuah di Lubnan makin kritikal

Penyelewengan seolah jadi budaya, falsafah dalam kalangan rakyat

BEIRUT, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Ekonomi Lubnan kini hampir lumpuh dengan hutang negara yang tinggi dan nilai mata wang yang terus merudum.

Bertambah buruk apabila amalan rasuah dalam sistem politik, kewangan dan pentadbiran terus berlarutan sehingga menyebabkan kehidupan rakyat semakin merosot.

Presiden Lubnan, Michel Aoun mengakui negara itu ‘tenat’ dengan nilai integriti, kini penularan COVID-19 memburukkan lagi keadaan.

Beliau berkata, amalan rasuah dan penyelewengan seolah-olah budaya biasa yang dipertahankan dalam kalangan rakyat di Lubnan.

“Rasuah telah menjadi budaya dan falsafah sehingga ada rakyat yang membenarkan dan mempertahankannya… pegawai yang terbabit rasuah terlepas daripada undang-undang,” katanya dalam ucapan di televisyen tempatan.

Aoun berkata, Lubnan juga adalah penjara kepada amalan penyelewengan yang dilakukan selama bertahun-tahun dalam kalangan ahli politik. 

Beliau berkata, usaha memerangi rasuah perlu dimulakan dengan penyiasatan jenayah kewangan, termasuk memulihkan dana awam yang dicuri. 

Lubnan dihimpit pelbagai krisis akibat daripada kesan peperangan serta tragedi letupan besar pada Ogos lalu. 

Tragedi di Beirut yang mengorbankan ratusan nyawa itu semakin merumitkan kestabilan di Lubnan, apabila pemerintahan terdahulu berundur dan kemudian diganti semula dengan bekas Perdana Menteri, Saad Hariri. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button