Berita Utama

Siapa pula dalang lombong haram secara haram di Kuala Lipis?

Pasti diusahakan syarikat tertentu, didanai oleh mana-mana taikun

BANGI, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Belum selesai isu pencerobohan tanah di daerah Raub dan Rompin, timbul pula kes perlombongan emas secara haram di Kuala Lipis.

Kelmarin, dua lelaki warga asing ditahan kerana melakukan kegiatan melombong emas di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai. 

Mereka dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong berskala sederhana itu dengan menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera. 

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis, Nor Shahrini Nordin Ahmad berkata, dua lelaki terbabit dipercayai berpengalaman luas mencari gali bahan galian terutama emas, mereka juga mendapat sokongan beberapa individu yang menguruskan kegiatan berkenaan. 

Mengulas perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, kes pencerobohan di Hutan Simpan Ulu Jelai itu bukanlah kali pertama, bahkan ia pernah dilaporkan media pada Mac serta September lalu.

Walaupun mengakui terlepas pandang kes itu sebelum ini, beliau bagaimanapun hairan serbuan yang dilakukan pada Mac dan September itu seolah-olah tiada kesan sehingga kegiatannya masih berjalan sehingga kini.

“Apakah dalang di belakang kegiatan ini adalah pihak sama? Siapakah di belakang mereka kerana mereka nampak begitu berani?

“Lebih menarik lagi, jentera-jentera berat telah dirampas dalam serbuan pada September dan Mac lalu, tetapi kini masih lagi ada banyak jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jika pengusahanya masih pihak sama, Haji Aminuddin tidak menolak kemungkinan sama ada jentera berat itu dibeli baru atau jentera lama yang dirampas dahulu dipulangkan semula.

“Perlombongan emas sebegini bukannya mampu dilakukan sembarangan oleh orang-orang biasa, tetapi pasti diusahakan oleh syarikat tertentu didanai oleh mana-mana taikun yang mempunyai duit yan banyak,” katanya.

Malangnya, beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, syarikat dan taikun di sebalik kegiatan itu tidak pernah didedahkan.

Katanya, jika zaman sekarang tiada pihak yang bersuara dan ‘buat bising’, pastinya kegiatan serta aktiviti haram berkenaan terus berlaku.

“Itulah pentingnya suara NGO yang sepatutnya menjadi badan pendesak bagi pihak rakyat.

“Sampai bila hasil dijarah begitu sahaja dan hanya mengkayakan mereka yang akhirnya akan mendabik dada kononnya mereka ‘kuat berusaha’ dan ‘pandai berniaga’, padahal hakikatnya mereka ini hanya mencuri sahaja,” katanya.

PEMBELA – yang terdiri daripada 300 NGO – antara yang lantang bersuara terhadap isu pencerobohan tanah secara haram di negeri Pahang, sejak kes kebun durian Musang King di Raub.

Rabu lalu, PEMBELA menyerahkan memorandum bantahan rakyat terhadap pencerobohan tanah di Pahang di pejabat Menteri Besar, Wisma Sri Pahang, Jabatan Perhutanan Pahang dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button