Berita Utama

‘Sokong dulu Belanjawan 2021, kemudian baru bahas apa tak puas hati’

Ahli Parlimen perlu rasional belakangkan agenda politik

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Sekalipun tidak bersetuju dengan agihan Belanjawan 2021, Ahli Parlimen tidak sepatutnya membangkang kerana agenda utama adalah memenuhi keperluan rakyat.

Walaupun ada sentimen politik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat, mereka seharusnya akur nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.

Bagi Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, bukanlah sesuatu yang pelik sekiranya agihan peruntukan dalam Belanjawan 2021 tidak dipersetujui.

Oleh kerana itu adanya ada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021, di Dewan Rakyat sebelum belanjawan diluluskan.

“Tetapi apa yang kita harapkan apabila Ahli Parlimen berdebat, mereka melihat kepada kepentingan lebih besar pada hari ini adalah meluluskan bajet.

“Apa yang yang mereka tidak bersetuju mereka perlu kemukakan. Tapi diakhirnya nanti yang lebih utama ialah kelulusan bajet tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Biarpun terdapat cakap-cakap bahawa ‘is not the the end of the day’ jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan, bahkan ada yang kata kerajaan ‘baharu’ boleh bentangkan bajet, Prof Ahmad Martadha menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alternatif.

Malah saranan meluluskan belanjawan di bawah Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan bukanlah alternatif terbaik kerana bersifat sementara dan sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

Katanya, secara mudahnya jika Ahli Parlimen tidak bersetuju, mereka boleh memberikan konstruktif komen terhadap apa jua perincian dalam belanjawan, tetapi apa yang lebih utama meluluskan dahulu belanjawan tersebut.

“Kemudian teruskan agenda apa yang mereka tidak puas hati dalam perbahasan nanti ataupun mengadakan kerjasama, perbincangan, dialog secara informal.

“Kita sudah tengok banyak negara, misalnya ada satu ketika di Amerika Syarikat (AS) pernah terjadi di mana bajet tidak diluluskan, maka kerajaan tidak boleh buat apa-apa dalam tempoh dua minggu erti kata lain lumpuh kerana kongres tidak meluluskan bajet.

“Jadi bagi saya pertimbangan yang rasional, keputusan bijaksana perlu dibuat dengan meletakkan agenda dan kepentingan politik kemudian, letakkan kepentingan rakyat paling utama tidak kira apa jua latar belakang parti,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button