Berita Utama

Teruskan bongkar, tak mustahil banyak lagi tanah diceroboh secara haram

Jangan ada sikap pilih bulu dalam penguatkuasaan undang-undang

BANGI, 6 Rabiulakhir 1442H, Ahad – Kerajaan negeri Pahang perlu segera menyelesaikan isu pencerobohan tanah secara haram mengikut lunas undang-undang tanpa ada pihak yang terlepas.

Sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan tanpa sebarang tindakan tegas, dibimbangi akan menjadi polemik dan bertukar menjadi isu politik.

Paling ditakuti apabila isu ini boleh bertukar menjadi isu perkauman, kata Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor.

Bagi mengekalkan kestabilan dan kedaulatan tanah air, beliau menegaskan bahawa kedaulatan undang-undang harus dijunjung malah tidak seharusnya ada sikap memilih bulu atau berat sebelah dalam penguatkuasaan undang-undang

“Yang salah tetap salah. Jangan sampai rakyat marhaen menyampah dan hilang kepercayaan kepada sistem perundangan dan akta yang diwujudkan.

“Jangan kata itu undang-undang saya yang bikin, kita boleh padam ikut suka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Dalam perkembangan sama, beliau yakin akan timbul lagi isu pencerobohan tanah di tempat-tempat lain seperti yang berlaku di daerah Raub dan Rompin.

Isu berkenaan yang masih belum menemui jalan penyelesaian katanya, menggambarkan pihak berkuasa – kerajaan negeri Pahang – yang memerintah sekarang terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan oleh pihak yang berkuasa terdahulu.

“Pada hemat saya, mencari penyelesaian isu ini adalah satu cabaran besar memandangkan isu ini bukan baru bermula ia adalah warisan dari kepimpinan terdahulu. Namun, kalau nak seribu daya.

“Akhir-akhir ini sudah ada kedengaran suara-suara sumbang ‘jom kita pakat teroka tanah ramai-ramai, tanam jagung, tanam betik..’.

“Ini adalah manifestasi daripada tiada tindakan yang tegas dari pihak berkuasa, sebaliknya yang dilihat ialah kerajaan Pahang berlembut dan memberi ruang perbincangan yang luas kepada peneroka tanah secara haram,” katanya.

Dengan peraturan dan undang-undang yang menjadi rujukan berkaitan tanah, Ustaz Norman berpandangan ia dapat menyelesaikan pertikaian yang sedang berlaku.

Bagaimanapun katanya, yang menjadi sukar apabila hal itu dicampuradukkan dengan pengaruh individu tertentu; rasa takut yang tidak bertempat; kecenderungan menjaga kepentingan peribadi secara salah dan niat melindungi pihak tertentu.

Beliau menegaskan, rakyat Pahang inginkan negeri yang sentiasa makmur, kerajaan yang berwibawa dan matang, sentiasa mampu menjaga dan mengurus negeri dengan cemerlang.

“Mereka menolak kerajaan yang tidak berwibawa, berdolak dalih dan mengikut telunjuk orang lain,” katanya.

Isu pencerobohan tanah di Pahang semakin berlarutan selepas kegiatan haram pihak yang mengusahakan tanam durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Lesong, Rompin – seluas 18 hektar – terbongkar.

Difahamkan, mereka bukan sahaja menanam pokok durian Musang King, malah turut menanam pokok durian belanda, nangka, kelapa selain membina stor simpanan barangan serta pejabat di dalam kawasan berkenaan.

Kegiatan berskala besar itu dilakukan di Kompartmen 74 dan 75 membabitkan penggunaan pelbagai jentera berat untuk membersih dan meratakan kawasan selain aktiviti menanam pokok.

Belum selesai isu pencerobohan tanah, kini timbul pula kes perlombongan emas secara haram di Kuala Lipis.

Kelmarin, dua lelaki warga asing ditahan kerana melakukan kegiatan melombong emas di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai.

Mereka dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong berskala sederhana itu dengan menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button