Berita Utama

PKPB: Solat Jumaat, fardu dibenarkan di Kelantan

Maksimum 50 jemaah dibenarkan setiap waktu

KOTA BHARU, 5 Rabiulakhir 1442H, Sabtu – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membenarkan solat Jumaat dan fardu serta aktiviti di masjid, surau dan musolla di negeri ini dilaksanakan secara terkawal, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran itu berkuat kuasa bermula hari ini sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negeri berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu turut mendapat perkenan daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Sepanjang tempoh PKPB, bagi masjid bandar dan jajahan serta masjid mukim, solat Jumaat dan fardu jemaah dibenarkan untuk maksimum 50 jemaah pada setiap waktu dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Sementara bagi surau, jemaah dibenarkan maksimum 30 orang pada setiap waktu dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, bagi musolla, hanya 10 jemaah dibenarkan pada setiap waktu solat dan tertakluk kepada kapasiti musolla selepas penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dilaksanakan.

Beliau berkata, masjid dan surau yang terletak di kawasan yang disahkan terdapat kluster COVID-19 akan ditutup apabila mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Surau dan musolla yang terletak di kawasan Kluster Mengketil ditutup sehingga suatu tarikh akan dimaklumkan kelak. Selain itu, kuliah agama sama ada kuliah subuh, maghrib, duha dan kuliah lain termasuk kelas al-Quran di masjid, surau dan musolla juga ditangguhkan sehingga 6 Disember,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kadar kebolehjangkitan yang tinggi di Kluster Mengketil menyebabkan kes kluster itu merebak dengan pantas.

Selain merekodkan peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh singkat, Dr Noor Hisham berkata, kluster itu merebak ke daerah Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan, selain Besut di Terengganu.

Mengulas lanjut, Tengku Mohamad Rizam berkata, kebenaran diberikan itu perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sebelum ini, termasuk hanya pegawai masjid (Imam Tua, Imam Muda, Bilal, Siak, dan Ahli Jawatankuasa Masjid dan anak-anak mukim terpilih) sahaja dibenarkan.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memutuskan untuk melaksana PKPB di Kelantan mulai hari ini hingga 6 Disember. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button