Berita Utama

Mudarat arak lebih besar daripada sumbangan kepada cukai negara

Kesan negatif disebut dalam al-Quran menerusi Surah Al-Baqarah

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Langkah mengawal penjualan arak yang diumumkan seharusnya perlu disokong semua pihak seiring langkah kerajaan menaikkan hukuman kepada pemandu mabuk.

Atas dasar minuman keras memberi kesan negatif kepada kesihatan, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim menyambut baik keputusan berkenaan.

Katanya, keputusan untuk mengawal penjualan minuman keras itu juga dapat membantu kerajaan membentuk rakyat Malaysia yang sihat.

“Kesan negatif arak kepada kesihatan individu, keluarga, masyarakat dan negara jauh lebih besar daripada sumbangan cukai arak kepada pendapatan negara.

“Malah perkara ini sudah disebut di dalam al-Quran menerusi Surah Al-Baqarah ayat 219. Jadi saya bersetuju supaya penjualan arak dapat dikawal agar tidak mudah dijual dan dibeli dengan mudah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, bahawa kerajaan Pusat membayangkan lebih banyak negeri yang akan mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan lagi penjualan arak di kedai runcit mulai tahun depan.

Beliau menyifatkan tindakan yang dilakukan Wilayah Persekutuan itu adalah bertepatan dengan tuntutan agama dan juga tuntutan masyarakat itu sendiri.

“Ini merupakan strategik kerajaan yang holistik dan perlu didukung oleh rakyat.

“Tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik. Kita tidak menolak kemungkinan akan bawa ke tempat lain berdasarkan komen yang positif daripada masyarakat,” katanya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa 15 November lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Biarpun begitu, tindakan DBKL dipertikai – Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mendakwa, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, peraturan itu juga dilihat ‘antiperniagaan’ dan yang menjadi korban adalah peniaga yang mematuhi undang-undang dan membayar cukai.

Menurut Kok Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 muktamad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button