Berita Utama

Annuar perlu jelas isu jual bir, elak kekeliruan

PEMBELA kesal Menteri WP kata bir tak tersenarai minuman keras memabukkan

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dituntut memberi penjelasan berhubung kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bahawa bir tidak tersenarai minuman keras yang memabukkan dan masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta serbaneka.

Sebelum ini, Annuar Musa berkata, kedai runcit yang tidak sesuai dilesenkan menjual arak tidak akan diperbaharui Lesen Minuman Keras (LMK) menjelang Oktober 2021.

“Bir masih boleh dijual di kedai sedemikian tapi pada waktu-waktu ditetapkan yang peraturan ini diguna pakai di semua negara.

“Ada garis panduan lama yang dikekalkan termasuk larangan menjual arak di tempat sensitif seperti berhadapan sekolah dan rumah ibadat,” katanya.

Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan kenyataan itu mengejutkan malah menimbulkan kekekecewaan dan kekesalan dalam kalangan rakyat terutamanya penduduk Kuala Lumpur yang pada asalnya gembira dengan pengumuman DBKL pada 15 November lepas.

Serentak itu, gabungan 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menggesa DBKL tegas dalam menguatkuasakan pengharaman arak secara menyeluruh iaitu meliputi bir kerana termasuk dalam kategori arak.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, jika tidak, pengumuman ‘DBKL telah mengharamkan arak’ adalah sesuatu yang mengelirukan (misleading) sekali gus akan mencalarkan integriti dan kredibiliti DBKL.

“Pengharaman penjualan segala jenis arak di tempat umum seperti kedai runcit dan serbaneka adalah selari dengan hukum-hukum syarak seperti yang terkandung dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559, Seksyen 19.

“Maka, adalah sangat berpatutan dan mempunyai asas yang kuat untuk DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan bertindak mengikut akta yang ada, terutama dalam menetapkan apa-apa polisi termasuk dalam konteks penjualan arak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada awalnya, Haji Aminuddin berkata, PEMBELA gembira dengan pengumuman ‘pengharaman arak’ di kedai-kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai-kedai ubat-ubatan Cina oleh DBKL.

Namun kesal apabila Menteri Wilayah Persekutuan menyatakan bir tidak tersenarai minuman keras yang memabukkan dan masih dibenarkan dijual di kedai runcit serta serbaneka.

“Sehubungan itu, PEMBELA mengajak NGO-NGO, parti-parti politik dan seluruh rakyat Malaysia menyokong inisiatif ini supaya usaha pengharaman penjualan arak di tempat-tempat awam dapat direalisasikan.

“Tujuannya supaya kita menuju sebuah negara yang sejahtera, sihat dan selamat tanpa arak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button