Berita Utama

Apa motif Hanipa bela jual arak?

Orang Islam patut sokong tindakan DBKL, dipanjang ke negeri lain

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Kerosakan yang berpunca daripada minuman beralkohol amat jelas bahkan sudah dibuktikan daripada pelbagai sudut.

Namun, malangnya, masih ada Ahli Parlimen yang beragama Islam bertindak mempertahankan kewujudan dan penjualannya di negara ini.

Semalam, Ahli Parlimen Sepang dari parti PAN, Mohamed Hanipa Maidin mengecam garis panduan terbaharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan minuman keras tahun depan.

Beliau menyifatkannya sebagai tidak berperlembagaan, dengan mengatakan ia bertentangan dengan kebebasan beragama.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, tindakan Mohamed Hanipa membidas keputusan DBKL itu menimbulkan pelbagai persoalan. 

Katanya, jika dilihat dari sudut pandang pengeluar arak, sudah tentu mereka tidak mahu kerugian, manakala bagi pemimpin negara yang membuat polisi mungkin sayang dengan hasil cukai daripada penjualannya.

Sementara bagi Yahudi dan kuasa besar dunia hari ini pula, arak penting untuk mereka merosakkan dunia, kata Ustaz Fauzi.

“Arak ditonjolkan sebagai budaya anak muda yang moden. Tidak minum arak bermakna seorang pemuda itu kuno. Arak muncul dalam penajaan sukan dunia. Arak juga menjadi penaja kepada aktiviti amal dan kebajikan. 

“Jika itu alasan mereka semua kenapa mereka mahu arak kekal, apa pula alasan orang macam Hanipa Maidin bila dia mencela pendekatan Tan Sri Annuar Musa dalam isu larangan penjualan arak di sesetengah premis perniagaan di Wilayah?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ustaz Muhammad Fauzi berkata, langkah DBKL itu sepatutnya disokong serta dipanjangkan hingga ke seluruh negara dan jenis-jenis premis perniagaan yang lain. 

“Kita sepatutnya ada target untuk menjadikan negara sifar arak. Bukan untuk membiarkan arak makin berkembang luas dari hari ke hari. 

“Bahkan, orang bukan Islam juga perlu dinasihati dengan sungguh-sungguh supaya meninggalkan arak,” katanya.

Beliau menegaskan, kecintaan umat Islam sepatutnya adalah pada kebaikan dan pelaku kebaikan, bukan pada kejahatan. 

“Kalau pun ada sayang kepada pelaku kejahatan, buktinya hanyalah jika kita menegahnya dari kejahatan, bukan memperjuangkan haknya untuk meneruskan kejahatan,” tegasnya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button