Kolumnis

Erti sebuah kesetiaan dalam perjanjian

Ingat! Kesetiaan, kesepaduan dalam jemaah muslim amat digeruni musuh Islam

PENGARAH Pilihan Perikatan Nasional (PN), yakin, bahawa PN mampu mendapatkan majoriti lebih besar dalam Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) akan datang. Katanya, PN telah membuat persiapan untuk menghadapi PRU15. Dengan rekod sepanjang lapan bulan lepas, PN mampu mendapatkan majoriti lebih besar.

Persoalannya, bolehkah PN menang tanpa sokongan UMNO, selaku parti Melayu yang mempunyai kerusi terbanyak.

Kerusi Parlimen Gombak yang disandang oleh Pengarah Pilihan Raya PN pun belum tentu selamat. Ketika beliau bertanding atas tiket PKR, beliau menang dengan majoriti besar iaitu 48,721 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan calon PAS, Ir. Khairil Nizam Khairudin.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu mendapat 75,113 undi, manakala Datuk Abdul Rahim Kamarudin (26,392 undi) dan Ir. Khairil Nizam (17,537).

Jika PN nak menang dalam PRU15 akan datang, maka suka atau tidak, perbincangan dengan UMNO yang tidak berada dalam PN, mesti dibuat dengan hati yang terbuka. Kesetiaaan mesti terjalin berasaskan kepada ikatan perjanjian. Jika tidak ada kesetiaan, pasti perjanjian akan hancur.

Parti-parti politik Melayu, melibatkan UMNO, PAS dan PPBM mesti berada di meja rundingan, jika mahu menang atau menang lebih kerusi. Kesetiaan dalam kesepakatan mesti diserlahkan. Perjanjian sahaja tidak cukup.

Jika mahu kesetiaan, mulakan rundingan. Ketika berunding, buang jauh-jauh sifat ego dan tamak kuasa. Sama-sama ikhlaskan diri kepada Allah SWT. Moga-moga diberikan petunjuk.

Kita tidak mahu dengar lagi, bila terlalu lama lapar dan dahaga, kawan yang membantu ditendang keluar disebabkan ghanimah diperolehi dengan bantuan kawan baharu. Mana dia kesetiaan?

Mendapat kawan baharu, bukan bermakna kawan lama diketepikan. Kawan lama tetap kawan lama.

Teramat sedih melihat, sejarah kahwin politik secara mutaah beberapa kali, menjadikan matlamat membangunkan Islam dan menyantuni ummah hanya menjadi isu sampingan.

Semua ini berlaku, apabila matlamat politik telah diperolehi, biarpun hanya baharu separuh jalan. Percayalah, kawin mutaah sebegini tidak akan kekal lama, namanya pun mutaah. Bila diperlukan, bukan main pujuk rayunya sehingga dibentangkan permaidani merah.

Bila tidak diperlukan, dibiarkan begitu saja. Bukan ini cara berpolitik.

Justeru, ingatlah, semangat jemaah mesti disematkan dalam hati tidak kira sama apa juga latar belakang kawan kita. Kawan lama, kawan baharu, perlu diraikan. Lebih-lebih lagi kawan lama.

Perjuangan menegakkan agama, bangsa dan negara mesti dibuat secara amalan berjemaah. Amat naif sekali jika ada yang berpandangan mahu berjuang bersendirian, sedangkan musuh bekerja siang malam secara berpasukan.

Parti-parti politik adalah juga dikira sebagai jemaah. Fungsi dan matlamat berbeza bukan alasan untuk tidak berjemaah.

Tidak ada masalah jika ada banyak jemaah. Asal tahu, bila masanya hendak bersatu.

Pendek kata, selagi mana hubungan berbentuk tolong-menolong, nasihat menasihati dan bekerjasama demi kedaulatan Islam itu tersemat di hati, tubuh pun berapa banyak parti pun, tidak ada masalah, macam ultra kiasu.

Namun ingat, apabila bekerja secara berjemaah diperlukan, maka kesetiaan dan walak sangat dituntut, daripada setiap individu dalam jemaah.

Jemaah yang punyai banyak kepala, itu bukan jemaah. Apatah lagi jika kepala itu tidak betul.

Ijtihad dalam perkara tidak ada nas, sebaik-baiknya dilakukan secara berjemaah, melalui syura setiap pemimpin parti politik, berpaksikan kepada Quran dan sunnah.

Kesetiaan yang menjadi asas keputusan ijtihad melalui syura adalah sifat terpuji. Manakala perwatakan yang boleh menimbulkan situasi penentangan terhadap keputusan ijtihad melalui syura hendaklah dijauhi.

Ingat! Bahawa kesetiaan dan kesepaduan dalam jemaah muslim, serta kerjasama sesama jemaah-jemaah ini, amat digeruni oleh musuh-musuh Islam.

Selain musuh, terdapat juga dalam kalangan orang Islam sendiri yang terjebak secara sedar dalam kancah antikesetiaan, kesepaduan dan kerjasama sesama muslim.

Kebiasaannya perkara ini berlaku kerana mereka tidak menjadikan syura itu sebagai pegangan yang sepatutnya.

Ada beberapa perkara yang perlu saya tegas dalam menilai erti perjuangan, jemaah dan kesetiaan.

Pertama, kesetiaan memerlukan komitmen. Ketika mana sedang menjalin sebuah hubungan kawan baharu, jangan lupakan kawan lama. Mempertahankan komitmen kesetiaan jangan sama sekali dilupakan.

Kedua, kesetiaan itu lambang kehormatan. Jika kita setia kepada seseorang, menjadi tanggungjawab kita untuk memenangi hatinya. Kesetiaan kita akan membuat kita semakin dihormati.

Ketiga, bila ada kesetiaan, kesalahan kecil akan mudah dilupakan. Kita semua adalah manusia biasa, tidak lari daripada kesalahan dan kesilapan. Kawan kita memahami bahawa kesetiaan adalah kebajikan besar yang dapat mengimbangi kegagalan kecil.

Keempat, kesetiaan akan sentiasa dijadikan teladan berbanding khianat dan belot. Sejarah membuktikan bahawa kesetiaan akan diingati sampai bila-bila kerana ia akan dijadikan teladan oleh orang lain yang berada dipersekitaran.

Kelima, kesetiaan tidak akan memberi ruang untuk membenci. Percayalah, kesetiaan menurunkan kadar kebencian dan permusuhan dalam sebuah hubungan.

Keenam, kesetiaan sentiasa akan diberi keutamaan. Buktikan kesetiaan antara satu sama lain, nescaya kita yang setia pasti akan diberikan keutamaan.

Ketujuh, kesetiaan menjamin kekuatan. Sejarah turut membuktikan bahawa ikatan kesetiaan yang kuat antara manusia menjana kekuatan.

Kelapan, kesetiaan mendekatkan dan mengikat hati. Kesetiaan mengurangi jarak antara dua atau tiga hati. Percayalah, kurangnya kesetiaan akan mempercepat perpisahan dan kehancuran.

Justeru, jangan pernah mengecewakan orang yang berada di samping kita untuk tetap setia, kerana jika dia pergi, maka akan sukar untuk mendapatkannya kembali. Apa lagi mencari pengganti yang sama seperti dirinya. Jangan sama sekali sia-siakan kesetiaan seseorang kerana suatu hari nanti, seseorang seperti itulah yang kamu perlukan suatu masa nanti.

Kesetiaan itu bukan diukur dari banyaknya waktu untuk bersamanya, tapi kemampuan kamu menjaga hati ketika dia tidak berada disisi. Ingatlah, kesetiaan biasa teruji apabila kita berada pada saat sukar.

Akhirnya, belajarlah dari sebuah kesetiaan, kerana kesetiaan itu mengajarkan kita erti pentingnya suatu kejujuran, ketulusan dan kepercayaan. Jangan mudah lepaskan mutiara digenggaman, jika hanya tergoda kilauan berlian. Kesetiaan bererti ketulusan untuk menyimpan satu nama tetap di hati, kemudian berjanji untuk tidak mengkhianatinya. Kesetiaan itu bukan saja tentang seberapa lama mampu bertahan, tetapi juga seberapa ikhlas memiliki dengan segala kekurangan yang ada.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button