Indonesia cipta peranti elektronik pantau pesakit COVID-19
Seperti jam tangan, disambung melalui 'Bluetooth' ke telefon pintar pengguna

JAKARTA, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Indonesia mencipta alat pengesanan elektronik untuk memantau individu yang dijangkiti COVID-19 bagi menjalani rawatan serta kuarantin.
Alat yang dikenali sebagai Si-Monic (Smart Innovated Monitoring for COVID-19) dilancarkan Institut Sains Indonesia pada pertengahan November lalu.
Ia berfungsi untuk membantu pihak berkuasa mengawasi individu yang disyaki atau diuji positif COVID-19.
Ketua Penyelidiknya, Galih Nugraha Nurkahfi berkata, alat itu disambungkan ke sistem teknologi maklumat untuk memantau pesakit COVID-19 yang sedang dirawat.
“Dengan memakai gelang ini, ke mana pun anda pergi, lokasi anda akan diketahui,” katanya yang menjelaskan bahawa peranti seperti jam tangan itu berfungsi setelah disambungkan melalui ‘Bluetooth’ ke telefon pintar pengguna.
Aplikasi mudah alih Si-Monic- yang tersedia dan boleh dimuat turun di Play Store – boleh merakam pergerakan penggunanya.
Salah seorang lagi penyelidik, Mohamad Mardi Marta Dinata berkata, peranti itu dipasang dengan cip Tenaga Rendah Bluetooth yang mempunyai identiti unik dan menghubungkan melalui internet ke pelayan.
Dinata berkata, jabatan kesihatan akan menerima maklumat pergerakan pengguna dan status terbaharu mereka serta pemberitahuan sekiranya peranti dipadamkan atau ditanggalkan dari pengguna. – Agensi