Berita Utama

Kerajaan lumpuh, rakyat tertekan jika belanjawan tak lulus

Intensif yang diperuntuk kepada rakyat tak dapat disalurkan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 jika tidak diluluskan boleh melumpuhkan kerajaan, bahkan memberi tekanan kepada rakyat yang memerlukan bantuan kerana terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Sedia maklum dalam belanjawan mengandungi dua elemen penting iaitu perbelanjaan mengurus untuk pengurusan dan pentadbiran kerajaan serta pembelanjaan pembangunan.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan maka segala bentuk intensif yang diperuntukkan kepada rakyat tidak dapat disalurkan.

“Khususnya kepada golongan yang memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup terutama terjejas akibat COVID-19.

“Dalam keadaan pandemik di mana ekonomi negara juga terkesan, sekiranya mereka tidak disalurkan dengan bantuan kewangan maka ini akan memberi tekanan.

“…kerana hari ini peningkatan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam perbelanjaan mengurus juga mengandungi perbelanjaan emolumen untuk kakitangan awam.

“Kita tahu di Malaysia ada lebih kurang 1.6 juta termasuklah polis, tentera sebagainya. Ini juga akan memberikan tekanan kepada kerajaan dari segi untuk membayar gaji kakitangan dan belanja mengurus semua agensi-agensi kerajaan seperti emolumen.

“Bukan setakat gaji semata-mata banyak lagi perincian-perincian perbelanjaan untuk menguruskan sesuatu kementerian dan agensi.

“Justeru (jika belanjawan tidak lulus) akan melumpuhkan kerajaan itu dari segi belanja mengurus,” katanya.

Sementara dari segi perbelanjaan pembangunan, Prof Ahmad Martadha berpandangan aspek pembangunan dikurangkan bagi memastikan sumber kewangan kerajaan ditumpukan kepada aspek menguruskan negara.

Katanya, walaupun agak kurang berbanding perbelanjaan mengurus, belanja pembangunan amat penting kerana akan merancakkan lagi sektor ekonomi negara serta memberi peluang pekerjaan kepada kepada ramai pihak.

“Oleh itu bagi saya secara keseluruhan implikasi bajet jika tidak diluluskan akan melumpuhkan pentadbiran kerajaan dan memberi kesan dan tekanan kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

“Terutamanya kumpulan yang terjejas teruk akibat daripada pandemik COVID seperti golongan miskin, yang hilang pekerjaan, peniaga kecil, nelayan serta petani,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan selepas Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengemukakan beberapa tuntutan sebagai sokongan bersyarat.

Antara tuntutannya ialah membenarkan pengeluaran simpanan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, selain mempertikaikan cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas Jasa (JASA) dengan peruntukan besar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button