Larangan eksport India punca harga bawang naik
Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, harga akan naik

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Tindakan kerajaan India yang melarang eksport terhadap hampir semua jenis bawang untuk menampung keperluan domestik negara itu punca peningkatan harga bawang di pasaran ketika ini.
Larangan itu dikeluarkan kerajaan India pada 14 September selepas berlaku bencana banjir besar di negara berkenaan, Julai lalu, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, India mengeluarkan larangan ke atas semua jenis bawang kecuali Bangalore Rose dan Krishnapuram.
“Berikutan itu, sebanyak 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Beliau berkata, harga bawang sama seperti harga barangan lain bergantung kepada bekalan dan permintaan.
“Jika bekalan kurang dan permintaan tinggi, maka harga akan naik.
“Inilah yang juga sedang berlaku kepada bawang India dan sedikit sebanyak mempengaruhi keseluruhan bekalan kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Belanda,” katanya.
Serentak itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memastikan tiada elemen pencatutan atau tindakan menaikkan harga secara tidak munasabah berlaku dalam pasaran.
Bahaimanapun, dalam isu pengimportan bawang – ia adalah seliaan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Namun, pasukan penguat kuasa KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan berhubung perkara berkenaan di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong dan peruncit.
“Pihak kementerian juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jika terbukti ada kes dan akan melaksanakan harga kawalan yang dalam bidang kuasa kementerian.
“Ia seperti termaktub dalam Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020 jika keadaan mendesak dan memerlukan,” katanya.