Berita Utama

Memalukan! Ultra kiasu Melayu pula berlebih bela isu arak

‘Tak perlu banding rasuah lebih teruk dari arak, dua-dua haram’

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Memalukan! Puak ultra kiasu Melayu, Islam pula yang berlebih-lebih menjadi ‘jaguh’ pembela arak, apabila mempertikaikan peraturan baharu penjualan minuman keras yang dikuat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), baru-baru ini.

Bukan hanya menyifatkan rasuah lebih merosakkan negara daripada arak, puak ultra kiasu itu turut mendakwa peraturan berkenaan melanggar hak orang Islam dan bercanggah Perlembagaan.

Atas sebab itu, pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mencabar ultra kiasu terbabit untuk memfailkan saman sekiranya dakwaan peraturan berkenaan bercanggah Perlembagaan.

“Bertaubatlah! Usia pun bukan muda lagi. Takut tak sempat. Apa kaitan antara rasuah dengan arak.

“Bila bukan Islam sokongan perlu dihadkan jualan, manakala yang Islam bukan main lagi menentang, sehingga membuat analogi tidak masuk akal,” katanya.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, antara arak dan rasuah, kedua-dua isu berkenaan boleh dibanteras satu persatu. 

“Namun janganlah sehingga mengatakan rasuah itu lebih teruk daripada arak.

“Seolah-olah kita fokus rasuah, arak dibiarkan dahulu. Kenapa tidak banteras kesemua sekali gus jika mampu.

“Lagipun bukan kerajaan nak mengharamkan langsung, cuma menghadkan sahaja. Ayat senang macam ini pun tak faham, nak memimpin rakyat macam mana?,” katanya.

Beliau pelik apabila ultra kiasu ini juga menyifatkan kenyataan kita campur tangan dalam urusan orang bukan Islam, apabila menghadkan jualan arak. 

“Sejak bila arak menjadi hak bukan Islam? Sebutkan pada saya, agama bukan Islam mana yang menggalakkan arak walau pun tidak mengharamkan sepenuhnya.

“Jelas, mabuk arak boleh membawa mudarat yang lebih besar, termasuk pembunuhan jika tidak terkawal. 

“Apakah ultra kiasu sudah rabun dengan dengan kemalangan yang berlaku akibat mabuk arak?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button