Berita Utama

Negeri lain patut martabatkan tulisan Jawi seperti Pahang

'Mereka akan jadi bodoh sombong jika terus tentang Jawi'

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Sudah tiba masa negeri-negeri lain mengikut langkah berani kerajaan Pahang menguatkuasakan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan – dengan harapan tulisan berkenaan terus diperkasa dan dibudayakan. 

Setakat ini, Pahang antara negeri yang berjaya mengangkat tulisan Jawi di tempat sepatutnya, sekali gus membuka ruang untuk ia berkembang di kalangan masyarakat tempatan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Haji Omar Kassim berkata, tulisan Jawi bukan hanya warisan malah adalah identiti teras negara, Islam, Melayu dan kedaulatan raja.

“Ianya wajib dipelihara, diajar kepada para pelajar di peringkat sekolah rendah dan dimartabatkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan biadab pihak yang menentang tulisan Jawi, beliau sendiri hairan mengapa mereka bertindak demikian, walhal tidak mereka tidak ada kaitan pun dengan penguatkuasaan Jawi. 

“Kita kesal bila ada ADUN DAP mencabar keabsahan tindakan ini. 

“Mereka akan terus jadi bodoh sombong sebegini, dan jika pandangan mereka ini berterusan, mereka akan semakin ditolak orang Melayu,” katanya.

Semua pihak mesti maklum, inisiatif memelihara tulisan warisan Melayu ini sepatutnya dijaga sebaiknya agar tidak luput dek zaman, katanya lagi.

“Tindakan kerajaan Pahang selari dengan semangat dan sejarah tulisan warisan Melayu ini. Justeru tekad dan ketegasan Pahang patut menjadi contoh negeri lain,” katanya.

Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan ADUN Tras (DAP), Chow Yu Hui bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda dan iklan.

Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz juga memerintah Chow, 37, selaku plaintif untuk menjelaskan kos masing-masing RM5,000 kepada Majlis Daerah Raub (MDR) dan kerajaan negeri Pahang, yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Pada penghakimannya, Zainal Azman berkata, mahkamah tidak perlu campur tangan dalam polisi penggunaan tulisan jawi yang diwajibkan mulai 1 Januari 2020 kerana telah diputuskan oleh kerajaan negeri mengikut tatacara yang betul.

Sementara itu, Chow semasa ditemui Bernama berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah dan akan berbincang sama ada akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button