Berita Utama

Netizen ‘keliru’ pendirian PAS dalam isu arak

Betulkah ada agama benarkan penganutnya minum arak?

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Bukan hanya pelik, malah rata-rata pengguna media sosial ‘pening’ dengan pendirian menteri PAS terhadap isu pengharaman arak di negara ini.

Ia susulan respon terhadap petikan satu temubual eksklusif bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang disiarkan di TV Pertiwi hari ini.

Dalam rakaman berdurasi lebih seminit itu, Dr Khairuddin yang ditanya mengenai pengakhiran bagi industri arak berkata, sekiranya minuman keras memudaratkan, ia patut diharamkan untuk dijual secara umum. 

Namun, minum arak adalah hak yang diberikan oleh agama masing-masing, dan ia menjadi hak kepada orang bukan Islam.

“Kerana itu hak yang diberikan oleh Allah SWT kepada agama lain dibenarkan.

“Tetapi, kalau judi, tiada agama yang membenarkan judi. Itu perlu bezakan antara judi dan arak. Arak sebahagian agama membenarkannya, kita akan beri hak kepada mereka,” katanya.

Ditanya, adakah PAS akan mendesak kepada pengharaman arak, menurut Dr Khairudin, hak itu masih diberikan kepada orang bukan Islam kerana ia dibenarkan syariat.

“Cuma, bagaimana penjualan itu mesti kita bincang. Kalau dia dijual secara berleluasa hingga menyebabkan memandu dalam keadaan mabuk, itu memudaratkan rakyat.

“Kita tengok bukan pada isu arak, tetapi isu memudaratkan itu menjadi pertimbangan kita. Maka, selagi ia tak mudaratkan orang bukan Islam, teruskan kerana agama mereka membenarkan,” kata Dr Khairuddin.

Keliru dengan kenyataan pemimpin PAS itu, rata-rata netizen mempersoalkan mengenai agama lain yang membenarkan arak seperti didakwa Dr Khairuddin.

“Agama mana yang cakap arak dibolehkan ya akhi?,” tulis Muhammad Anuar.

“Mana ada agama bagi minum arak. Agama apa datuk?,” soal Sit Matsuda.

Sementara, Kety Kety berkata, dalam keadaan sekarang, menjadi kewajaran untuk arak diharamkan memandangkan banyak kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

“Betul ke ada agama yang membenarkan minum arak? Betul ke minum arak itu hak diberi oleh Allah kepada agama tertentu, atau video ini dipotong-potong penjelasannya? Ya Allah sungguh mengelirukan,” tulis Rasdan Affandi.

“Setahu saya, belum ada agama di dunia ini yang menghalalkan arak lebih-lebih lagi agama yang dah lama wujud. Kalau agama yang baru wujud tak tahulah pula,” kata Zaey Dean.

https://www.facebook.com/TvPertiwi/videos/851384995437225/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button