Berita Utama

Sindiket bayar hingga RM1,500 beli kad ATM, akaun bank

Sasar golongan pendapatan rendah, tak kerja, tak disenarai hitam oleh bank

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Pihak polis menahan 10 individu termasuk tiga wanita disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pembekal keldai akaun dalam beberapa serbuan sekitar Lembah Klang antara 5 hingga 10 November lalu.

Hasil serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mendapati, ahli sindiket dikesan membayar di antara RM500 hingga RM1,500 kepada individu yang sanggup menjual kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun perbankan.

Kad ATM dan akaun bank terbabit kemudian dijual kepada pihak sindiket lain, sebelum digunakan bagi aktiviti jenayah siber.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, sindiket berkenaan yang beroperasi sejak tahun lalu menggunakan media sosial untuk aktiviti berkenaan dengan menumpukan golongan berpendapatan rendah, tidak bekerja, selain individu yang tidak disenarai hitam oleh bank.

“Siasatan mendapati, sindiket itu kemudian menjual akaun dan kad ATM kepada sindiket lain dengan harga RM2,000 hingga RM3,500 bergantung kepada jenis kad serta akaun terbabit.

“Pembekal keldai akaun ini dipercayai mampu menjana pendapatan mencecah RM10,000 sebulan. Ahli sindiket itu sanggup menyewa unit kondominium di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan untuk mengelak mereka dikesan pihak berkuasa.

“Sebahagian besar orang awam yang menjual akaun itu pula dipercayai tidak mengetahui ia digunakan dalam aktiviti jenayah. Bagaimanapun, kita akan ambil tindakan terhadap individu yang tahu perkara itu (kad ATM dan akaun bank digunakan untuk aktiviti jenayah),” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin berkata, suspek yang mendalangi sindiket itu didapati mempunyai kaitan dengan 32 laporan dibuat mangsa, membabitkan jenayah siber di seluruh negara, dengan kerugian RM1.15 juta.

“Semakan lanjut mengesahkan tiga suspek itu mempunyai rekod dadah.

“Semua suspek masih dalam tahanan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button