Berita Utama

Sungai landskap alam pelbagai wajah, fungsi

Ada masyarakat moden anggap sungai tak penting bagi kehidupan manusia

BANGI, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Jika orang dahulu memahami kepentingan sungai kerana bergantung hidup dengannya, masyarakat hari ini sudah terpisah dengan sumber alam itu kerana keperluan harian mereka dipermudahkan.

Walhal, fungsi dan perkhidmatan sungai sebagai nadi kehidupan manusia itu tetap sama.

Pengerusi Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, peristiwa banjir, sungai tercemar dan putusnya bekalan air sepatutnya menjadi pengajaran kepada masyarakat betapa pentingnya sungai bagi kehidupan kita.

Beliau berkata, pengurusan bersifat sektoral pada masa ini tidak dapat menyelesaikan isu kehidupan berkaitan sungai, sebaliknya pengurusan lembangan bersepadu mungkin cara terbaik mengatasi isu rentas sektor.

“Sungai ialah landskap alam dengan pelbagai wajah dan fungsi. Sejak awal kehidupan manusia, sungai menjadi komponen penting dalam kehidupan seharian.

Dataran limpah (banjir) sungai ialah kawasan rata subur, dijadikan tapak perumahan dan kawasan pertanian.

“Sungai menghubungkan antara tempat kerana orang dahulu menggunakannya sebagai sistem jalan utama. Mereka menangkap ikan dan hidupan dalam sungai sebagai makanan untuk sumber protien. Air sungai juga sebagai bekalan air bersih untuk minum, mandi, membasuh pakaian dan bertani.

“Masyarakat tradisi bergantung hidup kepada sungai, mereka menghormati sungai dan mempunyai sistem adat untuk memulihara sungai. Tiada sungai, tiada kehidupan,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat moden ketika ini kurang mengenali sungai.

Tambahnya, meskipun selalu melalui jambatan untuk menyeberangi sungai, namun ada yang melihat sungai.

Katanya, masyarakat moden mendapatkan air daripada paip, membeli ikan dari pasar dan menggunakan jalan raya untuk berhubung selain segelintir menganggap kononnya sungai sudah tidak penting untuk kehidupan manusia,

“Ramai seolah-olah kurang sedar, air paip datangnya dari sungai dan ikan di pasar juga ditangkap dari sungai atau laut.

“Sebahagian besar manusia menjadikan sungai tempat membuang sampah sarap, ada membenci sungai kerana ia sering membanjiri kawasan perumahan dan tanah pertanian mereka.

“Sungai menjadi landskap tabii binaan Ilahi yang paling penting untuk memberikan perkhidmatan kepada manusia dan hidupan,” katanya.

Pada masa sama, Ibrahim berkata, sungai bukan sahaja menjadi sistem saliran baik dan menyalurkan air dari gunung ke lautan, malah ia menjadi sistem mengangkut bahan sedimen termasuk sampah-sarap sepanjang alurnya.

Jelasnya, butiran tanah dari gunung dienapkan di dataran banjir menjadi tanah subur untuk bercucuk tanam, manakala bahan organan yang diangkut ke laut menjadi sumber makanan hidupan laut.

Selain itu, beliau berkata, sungai adalah satu sistem tabii sangat berkesan, di mana ia hanya menggunakan graviti untuk menjalankan fungsinya tanpa berhenti dan berkesudahan.

Katanya, kehidupan manusia bergantung kepada sungai yang membekalkan air bersih untuk minuman, menyediakan tanah subur untuk memastikan keselamatan makanan dan menjadi sistem kumbahan serta mengangkut sisa organan ke laut.

Malah, sungai juga membekalkan air untuk pertanian, kuasa elektrik-hidro,membekalkan pasir untuk pembinaan dan sistem pengangkutan di kawasan pedalaman, katanya.

“Setiap sungai mempunyai kelakuan tersendiri, keterbatasan atau keupayaan tampungan tersendiri untuk menjalankan fungsinya dengan cekap.

“Selain proses ekstrem seperti tanah runtuh dan aliran debris di bahagian hulu sungai serta fenomena banjir di bahagian pertengahan dan hilir, proses sungai boleh diramal dan dimanfaatkan.

“Hanya perubahan besar pada sungai seperti membina empangan, pengambil pasir berlebihan, membuang sampah berlebihan, kelakuan sungai akan berubah, fungsinya boleh terjejas serta kelakuannya turut berubah,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button