Yaman mahu pakatan Arab Saudi henti keganasan kanak-kanak
12.2 juta kanak-kanak sangat perlukan bantuan kemanusiaan

SANA’A, 7 Rabiulakhir 1442H, Isnin – Kementerian Luar Negeri Yaman menggesa penghentian segera keganasan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap kanak-kanak di negara yang diperangi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, kementerian itu mengatakan kanak-kanak sering menjadi mangsa keganasan oleh negara-negara penyerang.
Kebanyakan mereka terbunuh atau cacat dalam serangan gabungan tersebut. Sekolah dan hospital dibom dan kanak-kanak dilucutkan hak penjagaan kesihatan serta pendidikan, tambah kenyataan itu.
Memetik angka yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), ia menyatakan bahawa terdapat kira-kira 12.2 juta kanak-kanak di Yaman yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan.
“Lebih daripada lima juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun yang menderita kekurangan zat makanan, sekitar 1.71 juta kanak-kanak terlantar dan lebih daripada dua juta kanak-kanak tidak bersekolah.
“Serangan gabungan yang berterusan juga mengakibatkan kematian lebih daripada 3,790 kanak-kanak dan kecederaan lebih dari 4,000 yang lain,” katanya.
Dalam kenyataan itu turut disebut mengenai PBB yang mengeluarkan gabungan Arab Saudi daripada senarai hitam pihak yang melanggar hak kanak-kanak.
Langkah itu, menurut kementerian, merupakan langkah mundur oleh PBB untuk melindungi dan mempromosikan hak-hak kanak-kanak di seluruh dunia, penghapusan itu juga memberi Arab Saudi ‘carte blanche’ untuk terus melakukan jenayah perang terhadap kanak-kanak di Yaman.
Dalam pada itu, kementerian itu turut meminta Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres untuk memasukkan kembali gabungan yang dipimpin Arab Saudi dalam senarai kumpulan yang melanggar hak kanak-kanak, atau ia akan dianggap sebagai ‘rakan dalam pembunuhan’ kanak-kanak Yaman.
Kementerian Luar Negeri mendesak agar negara-negara lain mengutuk jenayah terhadap kanak-kanak Yaman.
Ia meminta orang-orang yang mencintai kebebasan di seluruh dunia, ketua PBB, Wakil Khas Setiausaha Agung PBB untuk Kanak-kanak dan Konflik Bersenjata, Virginia Gamba de Potgieter, Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan semua organisasi yang bersangkutan, terutama UNICEF, untuk bertindak dalam membawa pelaku ke muka pengadilan. – Agensi