Berita Utama

Belanjawan 2021: Ahli Parlimen masih lagi main politik gila kuasa

Tiada siapa untung jika Parlimen dibubar atau pertukaran kerajaan

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sebahagian Ahli Parlimen masih lagi bermain politik gila kuasa, seolah-olah tidak mempedulikan titah Yang di-Pertuan Agong. 

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berulang kali mengingatkan supaya berhenti politiking dan mahukan semua anggota Dewan Rakyat mengutamakan kepentingan rakyat dengan meluluskan belanjawan negara. 

Malangnya, masih ada saki-baki pemimpin ‘gigih’ mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada – malah ugutan demi ugutan dan tiada kompromi dalam bertolak-ansur untuk meluluskan Belanjawan 2021. 

Presiden BERJASA, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mengakui kecewa dengan sebahagian Ahli Parlimen yang tidak memikirkan penderitaan rakyat dan keadaan semasa negara ketika ini.

Katanya, sebagai Ahli Parlimen mereka sepatutnya mempamerkan sikap, pemikiran serta akhlak sebagai pemimpin dalam memastikan Belanjawan 2021 dipersetujui dab dilaksanakan sebaik mungkin demi kemaslahatan rakyat. 

“Di manakah kematangan Ahli-Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang dalam bersama-sama duduk semeja untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik?,” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada mana-mana pihak yang akan untung sekiranya berlaku pembubaran Parlimen atau pertukaran kerajaan sekarang, malah lebih memburukkan lagi keadaan.

“Kita bukan mengharapkan ‘blank cheque’ terhadap perkara-perkara yang disyorkan dalam belanjawan, tetapi perbincangan dalam semangat yang dititahkan oleh DYMM YDPA agar ianya dapat diluluskan dengan pindaan yang munasabah dan menguntungkan rakyat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan selepas Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengemukakan beberapa tuntutan sebagai sokongan bersyarat. 

Antara tuntutannya ialah membenarkan pengeluaran simpanan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, selain mempertikaikan cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas Jasa (JASA) dengan peruntukan besar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button