Berita Utama

Konsep lama, Ekonomi Madani gabungan model kapitalis sosial

Lebih untungkan sebelah pihak, PM patut wujudkan model ekonomi berdaya maju

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 2 Safar 1445H, Sabtu – Ekonomi Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kesinambungan daripada kerangka ekonomi lama, yang hanya memberi tumpuan jangka masa pendek semata-mata.

Penganalisis Centre for Alternative Policies in Economics (CAPE), Ibrahim Mohd Hasan berkata, tiada pembaharuan yang dikemukakan selepas lebih lapan bulan mentadbir – kerana model ekonomi yang diuar-uarkan hanya meneruskan kerangka sama iaitu gabungan ekonomi kapitalis sosial.

“Kita sepatutnya yang tentukan hala tuju ekonomi negara memandangkan kita memiliki sumber yang kaya dan subur.

“Tetapi sebaliknya, ekonomi sekarang hanya menguntungkan sebelah pihak, selain tidak menggunakan kemudahan dan kelebihan yang ada untuk membangunkan negara ikut acuan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Dialog Kuasa Nasional: Adakah Ekonomi Madani Membangunkan Kuasa Nasional yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Ibrahim berkata, kerajaan sepatutnya membangunkan negara dengan mencari kepakaran pihak luar untuk manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Namun sebaliknya yang berlaku hari ini apabila memberi peluang kepada pihak luar menggunakan sumber negara.

“Meskipun ia memberi keuntungan tetapi hanya untuk jangka masa pendek semata-mata, tetapi lebih baik kita cari kepakaran daripada luar dan gunakannya untuk manfaat negara,” katanya.

Justeru beliau melihat sudah tiba masanya model ekonomi baharu yang lestari dan berdaya saing diwujudkan bagi memberi tumpuan untuk jangka masa panjang.

Meskipun perancangan itu tidak memberikan hasil dalam tempoh terdekat, namun ia dijamin akan membawa negara ke arah lebih baik.

Paling penting dapat menjamin generasi akan datang dengan keadaan ekonomi yang lebih stabil, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button