Berita Utama

Ceroboh tanah di Pahang: Siasat jika ada unsur rasuah

Heret penceroboh ke muka pengadilan bukan dengan rundingan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pihak berkuasa digesa menyiasat sama ada terdapat elemen rasuah dalam isu pencerobohan tanah kerajaan di Pahang.

Demikian saranan Setiausaha Agung Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Eqwan Roslan berhubung isu pencerobohan tanah di Pahang yang dilihat semakin berlarutan selepas kegiatan haram pihak yang mengusahakan tanam durian Musang King di kawasan Hutan Simpan Lesong, Rompin – seluas 18 hektar – terbongkar.

Difahamkan, mereka bukan sahaja menanam pokok durian Musang King, malah turut menanam pokok durian belanda, nangka, kelapa selain membina stor simpanan barangan serta pejabat di dalam kawasan berkenaan.

Kegiatan berskala besar itu dilakukan di Kompartmen 74 dan 75 membabitkan penggunaan pelbagai jentera berat untuk membersih dan meratakan kawasan selain aktiviti menanam pokok.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 4,400 hektar tanah kerajaan di Raub diteroka secara haram selama lebih 40 tahun tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Kerajaan Pahang memaklumkan mengalami kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun melalui hasil cukai tanah dari kebun haram termasuk di kawasan hutan simpan.

Ekoran itu, kerajaan negeri mula bertindak tegas dengan mengeluarkan notis pengosongan tanah kebun dan pajakan kepada penceroboh terbabit.

Bagaimanapun, penceroboh berkenaan berjaya mendapat Perintah Penggantungan Sementara daripada Mahkamah Tinggi Kuantan yang dilanjutkan sehingga 9 Disember ini.

Dengan perkembangan semasa ini, Eqwan menegaskan jalan penyelesaian kepada isu pencerobohan ini bukan melalui pintu rundingan.

“Siasat sama ada terdapat elemen rasuah. Bawa penceroboh ke muka pengadilan dengan pendakwaan bukan pintu rundingan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Belum selesai isu pencerobohan tanah, kini timbul pula kes perlombongan emas secara haram di Kuala Lipis.

Dua lelaki warga asing ditahan kerana melakukan kegiatan melombong emas di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai, Mukim Ulu Jelai.

Mereka dipercayai menjadi dalang utama kegiatan melombong berskala sederhana itu dengan menggunakan kaedah palong, pam air dan jentera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button