Berita UtamaDunia

China dakwa AS sengaja timbul perselisihan antara negara Asia

Gesa Washington henti hasut konfrontasi mengenai Laut China Selatan

MANILA, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kedutaan Besar China di Filipina mendakwa Amerika Syarikat (AS) sengaja ‘menimbulkan kekacauan’ di Asia dengan berusaha mewujudkan perselisihan antara China dan negara-negara serantau.

Penasihat Kanan Keselamatan White House, Robert O’Brien ketika melakukan lawatan ke wilayah itu, semalam berjanji akan menyokong Filipina dan Vietnam – yang keduanya mempunyai pertikaian maritim dengan China – dan menekankan komitmen Washington terhadap Taiwan yang memerintah sendiri.

Kemudian pada hari sama, Kedutaan Besar China di Filipina mengatakan bahawa ucapan O’Brien menunjukkan bahawa lawatannya bertujuan untuk mewujudkan pertelingkahan.

“Ini menunjukkan bahawa kunjungannya ke wilayah ini bukan untuk mempromosikan keamanan dan kestabilan wilayah.

“Sebaliknya cuba mencetuskan kekacauan di wilayah tersebut untuk mencari kepentingan egois AS,” kata Kedutaan Besar China dalam satu kenyataan.

Serentak itu, pihaknya meminta Washington untuk ‘berhenti menghasut konfrontasi’ mengenai Laut China Selatan dan berhenti membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab terhadap isu Taiwan dan Hong Kong, yang merupakan urusan dalaman China semata-mata.

“Fakta telah membuktikan bahawa AS adalah pendorong terbesar aspek ketenteraan di wilayah ini,” kata kenyataan itu, yang menggambarkan Amerika sebagai ‘faktor luaran yang paling berbahaya’ di Laut China Selatan.

AS berulang kali menghantar kapal perang dan jet perang berhampiran perairan wilayah China di Laut China Selatan yang strategik untuk menggunakan apa yang dikatakannya sebagai ‘hak’ untuk ‘kebebasan pelayaran’ yang hakikatnya jauh dari sempadannya sendiri.

O’Brien juga memberi amaran kepada Beijing bahawa ia akan menghadapi ‘reaksi balas’ jika mencuba menggunakan kekuatan ketenteraan untuk menggerunkan Taiwan, sebuah wilayah pulau yang diperintah sendiri, namun tunduk pada kedaulatan China.

Beberapa hari kebelakangan ini, seorang pegawai kanan tentera laut AS, yang bertanggungjawab untuk perisikan ketenteraan di Asia Pasifik, melakukan lawatan rahsia ke Taiwan dalam usaha terakhir yang dilakukan oleh Presiden AS, Donald Trump untuk meningkatkan hubungan dengan Taiwan – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button