Dunia

China syor mekanisme global mudahkan perjalanan antarabangsa

Teknologi kod QR berisiko memantau, sebabkan diskriminasi politik

BEIJING, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa –  China mencadangkan satu mekanisme global untuk memudahkan perjalanan antarabangsa yang terganggu akibat pandemik COVID-19 pada Sidang Kemuncak Pemimpin G20 Ke-15, baru-baru ini. 

Bercakap pada sidang kemuncak itu, Presiden Xi Jinping berkata, sijil kesihatan berdasarkan hasil ujian asid nukleik dapat disahkan dengan mekanisme global yang dibuat melalui teknologi kod QR. 

Katanya, sebilangan besar negara boleh terbabit dalam mekanisme itu, di mana hanya perlu menyelaraskan dasar serta piawaian, sekali gus memudahkan perjalanan.

Susulan cadangan Xi Jinping itu, penyokong hak asasi manusia mengingatkan bahawa teknologi kod QR boleh memantau dan menyebabkan kepada diskriminasi politik. 

Sejak pandemik COVID-19 – yang dikesan pertama kali di Wuhan pada Disember tahun lalu – kebanyakan negara seluruh dunia menyekat perjalanan dan kemasukan bagi mengawal penularan wabak. 

Langkah itu memberi kesan serius kepada industri penerbangan, termasuk sektor pelancongan.

Setakat semalam, jumlah kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia sudah mencecah hampir 1.4 juta dengan kes jangkitan lebih 59 juta orang.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button