Berita Utama

Doula tak boleh beri nasihat perubatan: Menteri Kesihatan

Hanya terbatas beri sokongan kepada wanita hamil sewaktu bersalin, berpantang

KUALA LUMPUR, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Doula atau peneman ketika hamil dilarang memberi nasihat perubatan atau nasihat berkaitan ‘pro-natural birthing atau ‘gentle birthing.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, doula juga perlu melalui latihan serta mempunyai garis panduan serta polisi yang perlu dipatuhi.

Beliau berkata, tugas mereka hanya terbatas kepada memberi sokongan kepada wanita hamil sewaktu bersalin dan berpantang dari aspek mental, fizikal serta emosi sahaja.

“Pada masa ini, doula adalah tidak berdaftar dengan mana-mana pertubuhan, manakala latihan serta perkhidmatan yang mereka berikan juga tidak jelas.

“Kumpulan doula atau bidan tanpa pengiktirafan bukan jururawat kebidanan kerana mereka tidak berdaftar mengikut Akta Bidan 1966 [Akta 436].

“Subseksyen 14(1) akta itu memperuntukkan mana-mana individu yang mengamalkan amalan perbidanan tanpa pendaftaran mengikut akta itu adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM 2000.00 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Dap- Bandar Kuching) yang meminta kementerian menyatakan pelan untuk membenarkan trend kelahiran menggunakan khidmat doula di Malaysia bagi memastikan tiada peningkatan kadar kelahiran tidak selamat dan kematian ibu atau anak yang dapat dielakkan.

Mengulas lanjut, Dr Adham berakta, kementeriannya mengambil inisiatif untuk meningkatkan kelahiran selamat termasuk mengedarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertajuk “Langkah-Langkah Bagi Mempertingkatkan Usaha Untuk Mengurangkan Kelahiran Tidak Selamat” pada 13 Mac 2014.

Bagi kes berisiko rendah yang memilih untuk bersalin di rumah, katanya, semua anggota terbabit diarah untuk mengendalikan ibu mengikut Garis Panduan Pengurusan Ibu Hamil Yang Memilih Untuk Bersalin Di Rumah dan Garis Panduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu dan Bayi, KKM.

Beliau berkata, kehadiran anggota kesihatan yang terlatih adalah diperlukan untuk kelahiran di rumah supaya dapat segera bertindak memberi bantuan kecemasan jika terdapat sebarang komplikasi yang mungkin timbul terhadap bayi dan ibu semasa atau selepas bersalin.

“Sejak 2012, komponen ‘mother friendly care’ (MFC) dimasukkan dalam Inisiatif Hospital Rakan Bayi (Baby-Friendly Hospital Initiative), iaitu terdapat elemen menggalakkan ibu untuk mempunyai teman yang boleh bersama sepanjang proses kelahiran untuk memberi sokongan emosi dan fizikal sewaktu melahirkan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button