Berita Utama

Gerik, Bugaya isytihar darurat bergantung penilaian MKN, KKM

Di Batu Sapi, Kabinet buat keputusan minta PM nasihat Agong isytihar darurat

KUALA LUMPUR, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pengisytiharaan darurat sepertimana dilaksana di Parlimen Batu Sapi akan dipertimbang di Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri Bugaya yang bakal berhadapan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas kedua-dua wakil rakyatnya meninggal dunia, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata bagaimanapun ia bergantung kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata bagi Batu Sapi, Jemaah Menteri membuat keputusan untuk meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya darurat diisytiharkan berpandukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, selepas melihat kepada situasi COVID-19 di negeri berkenaan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 November lepas, mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi, yang sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu yang ditetapkan pada 5 Disember.

Takiyuddin berkata antara masalah di Parlimen Batu Sapi adalah pematuhan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN yang berkemungkinan besar tidak dapat dipenuhi sepenuhnya, selain pelantikan petugas pilihan raya apabila sehingga 6 November, hanya 143 daripada 834 petugas yang sanggup bertugas.

“Begitu juga Kementerian Kesihatan memaklumkan kekangan untuk sediakan pegawai dan kakitangan kesihatan bagi mengendali pengundi-pengundi di Batu Sapi yang berjumlah lebih 32,000 orang.

“Atas dasar itu, kerajaan berpendapat pengisytiharaan darurat adalah sangat tepat dan langkah diambil Yang di-Pertuan Agong amat bertepatan (dengan) Perlembagaan. Ia bukan sekali-kali satu tindakan bercanggah amalan demokrasi,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian dalam Waktu Pertayaan-pertanyaan Menteri, menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (UMNO-Pontian) yang mahu tahu sama ada kerajaan bercadang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi mengisytiharkan darurat di DUN Bugaya, Sabah dan Parlimen Gerik, Perak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button