Berita Utama

Hanipa tak rasional kecam garis panduan jual arak?

Adakah hak kebebasan bersuara lebih penting dari tuntutan Islam?

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Malaysia perlu memperketatkan serta memperluaskan lagi garis panduan penjualan arak seperti Singapura dan Eropah demi menjaga kesejahteraan serta keharmonian bersama.

Sebagai sebuah negara Islam yang bersifat sejahtera, segala aturan yang ditetapkan oleh agama itu adalah untuk kebaikan dan maslahah manusia itu sendiri.

Justeru agak menghairankan apabila Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mengecam garis panduan terbaharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai penjualan minuman keras tahun depan sebagai tidak berperlembagaan, dengan mengatakan ia bertentangan dengan kebebasan beragama.

Kenyataan beliau itu menimbulkan persoalan sama ada Hanipa yang juga Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) merujuk kepada ‘agama’ humanism yang bertuhankan nafsu dan manusia sebagai tuhan.

Ini kerana, majoriti agama menegah pengikutnya daripada mabuk dan jika ada yang tidak mengharamkan, ia bukanlah tuntutan agama, kata Pemangku Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Sepang, Ustaz Ibrahim Mohd Hasan.

Beliau menjelaskan, garis panduan lesen minuman keras (LMK) yang dikeluarkan DBKL bukan bermakna minuman keras diharamkan secara total tetapi secara lebih terkawal.

“Arak masih lagi bebas dijual di pasar raya, pub dan kedai arak. Ini bermaksud tiada hak kebebasan mana-mana agama yang dinafikan.

“Apa yang berlaku ialah penjualan arak yang terkawal supaya ia tidak mudah diterdedah kepada masyarakat umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Ibrahim menegaskan, sebagai seorang pemimpin, Hanipa seharusnya memikirkan soal kesejahteraan masyarakat yang umumnya menolak pemabuk dan peminum arak.

Ini juga berkait dengan isu pemandu mabuk yang terbabit dalam kes kemalangan sehingga membunuh warga yang tidak bersalah, katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Hanipa tidak mampu berfikir secara rasional sebagai seorang pemimpin impak positif yang lebih harmoni kepada masyarakat berikutan penjualan arak yang terkawal.

“Akhirnya, sebagai seorang muslim, memastikan umat Islam terpelihara daripada dosa dan maksiat merupakan tanggungjawab seorang muslim.

“Antara lainnya ialah dengan cara menutup segala pintu ke arah maksiat tersebut ‘Sadd zaraie’.

“Jika umat Islam sendiri tidak minum, bagaimana pula pekerja muslim yang terpaksa terlibat dengan urusan penjualan arak di kedai serbaneka?

“Apakah YB merasakan bahawa hak kebebasan itu lebih penting daripada tuntutan agama Islam itu sendiri?,” bidasnya.

DBKL sebelum ini memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa 15 November lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button