Dunia

Kakitangan UNRWA bantah pemotongan gaji

Krisis kemanusiaan berisiko tercetus jika tiada dana bertahan pada Januari 2021

GAZA, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Puluhan rakyat Palestin – yang bekerja dengan Agensi Kerja dan Bantuan Palestin (UNRWA) – mengadakan tunjuk perasaan di Gaza semalam, sebagai membantah pengurangan gaji. 

Kesatuan Kakitangan UNRWA mengadakan tunjuk perasaan itu di hadapan ibu pejabat utama agensi berkenaan di Gaza.

Penunjuk perasaan berhimpun dengan membawa sepanduk yang menolak pemotongan serta penangguhan bayaran gaji mereka.

Ketua Kesatuan UNRWA, Amir al-Mesehal berkata kesatuan itu menolak sebarang rundingan mengenai hak pekerja. 

Sebelum ini, Pesuruhjaya UNRWA, Philipe Lazzarini berkata, agensi itu menerima pinjaman sebanyak AS$20 juta (RM81.8 juta) dari Tabung Tindakan Kecemasan Pusat PBB (CERF). 

Lazzarini berkata, pinjaman itu adalah penyelesaian terakhir untuk membantu aliran tunai dan merangkumi sebahagian daripada gaji bulan November. 

“Berdasarkan dana yang ada, saya akan putuskan akhir minggu ini jika kita meneruskan pembayaran gaji separa pada hujung bulan atau menangguhkan pembayaran penuh,” kata Lazzarini.

Katanya, UNRWA masih memerlukan AS$70 juta (RM286.4 juta) bagi menampung bayaran gaji November dan Disember, dan kekurangan dana untuk beroperasi pada Januari.

“Ini adalah pertama kali UNRWA tiada dana untuk membayar dua bulan gaji kakitangan. 

“Kegagalan pembayaran gaji berisiko menganggu operasi UNRWA dan akan mencetuskan krisis kemanusiaan dalam komuniti 5.7 juta pelarian Palestin di wilayah ini,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button