Berita Utama

Malang ada Ahli Parlimen muslim persoal larangan arak

Mencari redha Allah SWT adalah matlamat sesebuah negara Islam

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Tindakan seorang Ahli Parlimen muslim mempersoal keputusan larangan penjualan arak di negara ini disifatkan sebagai sesuatu yang malang.

Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sedang menuju kesempurnaan.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Haji Zamani Ibrahim menegaskan, lebih malang lagi barisan Ahli Parlimen muslim yang ramai di Parlimen tidak bersuara berkenaan isu tersebut.

Pada asasnya, jelas beliau, BERJASA bersetuju dengan pengharaman berkenaan yang menjadi suatu harapan rakyat untuk melihat Malaysia bebas arak.

“Sepatutnya Pengerusi PEMBELA sudah boleh memikirkan agenda lain, ini kerana barisan MP muslim yang boleh bersuara di Parlimen sepatutnya bersuara dan zahirkan sokongan dalam isu arak ini.

“Lebih malang lagi terdapat juga MP muslim lebih sudu daripada kuah dalam mempertahankan penjualan arak.

“Bilangan MP muslim adalah cukup ramai dan sepatutnya tidak timbul lagi isu penjualan arak ini dikedai kedai runcit dan kedai serbaneka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad minggu lalu.

Antara lain, garis panduan itu menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Ustaz Zamani menambah, meskipun penjualan arak menyumbang kepada ekonomi negara melalui kutipan hasil cukai, namun keburukannya sangat besar terhadap watan.

Sehubungan itu, tegas beliau, adalah wajarlah jika arak diharamkan kerana mencari keredhaan Allah SWT adalah matlamat bagi sesebuah negara Islam.

“Berdasarkan pertimbangan neraca hikmah, keburukan yang menimpa watan disebabkan kerugian hasil cukai kerana mengharamkan penjualan arak adalah sangat kecil berbanding keburukan yang akan ditanggung oleh watan sekiranya dibenar penjualan arak dimerata-rata kedai runcit dan serbaneka.

“BERJASA cukup yakin, negara kita tidak akan menjadi miskin sekiranya tidak dapat mengutip hasil cukai penjualan arak,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button