Berita UtamaDunia

Netanyahu adakan pertemuan rahsia bersama Arab Saudi, AS?

Bagaimanapun, Arab Saudi nafi pertemuan berlaku

RIYADH, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dipercayai mengadakan pertemuan secara rahsia bersama Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo.

Netanyahu turut diiringi Ketua Israel Mossad, Yossi Cohen dalam pertemuan pada Ahad di Neom di pantai Laut Merah, menurut data pengesanan penerbangan.

Laman web pengesanan penerbangan itu menunjukkan bahawa pesawat dinaiki pemimpin Yahudi itu mendarat di Arab Saudi selama kira-kira dua jam, sebelum kembali ke Israel kira-kira setengah jam lewat tengah malam kemudian.

Sementara itu, penasihat kanan Arab Saudi memberitahu Wall Street Journal bahawa pertemuan itu membincangkan beberapa isu termasuk menormalisasikan hubungan antara kedua-dua pihak serta Iran, namun tiada sebarang kata sepakat dicapai.

Bagaimanapun, Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faizal Farhan Al Saud menafikan bahawa Netanyahu melakukan lawatan ke negara itu secara rahsia untuk bertemu Putera Mohammed.

“Tidak ada pertemuan seperti itu,” ciapnya dalam laman Twitter.

Pada masa sama, pegawai dan pejabat pemimpin Israel di Arab Saudi enggan memberi sebarang komen.

Dalam pertemuan dengan Menteri Luar Saudi bulan lalu, Pompeo mendesak Arab Saudi mempertimbangkan keputusan untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

“Kami berharap Arab Saudi juga mempertimbangkan untuk menormalkan hubungan (dengan Israel), dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan yang mereka berikan dalam menjayakan Perjanjian Abraham setakat ini,” kata Pompeo.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain menandatangani perjanjian normalisasi dengan Israel pada September lalu, sekali gus menjadi negara Arab ketiga dan keempat yang menjalin hubungan diplomatik dengan negara haram itu.

Kedua-dua negara itu mengikuti jejak langkah Mesir pada tahun 1979 dan Jordan (1994).

Perjanjian itu mendapat kecaman hebat daripada rakyat Palestin, yang menyifatkannya tidak megendahkan nasib dan hak negara itu.

Setakat ini, kerajaan Riyadh menolak untuk menormalkan hubungan dengan Israel dan menegaskan bahawa kepentingan Palestin mesti diutamakan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Arab Saudi telah membenarkan pesawat Israel melalui ruang udara mereka.

Keputusan itu diumumkan sehari selepas menantu Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner dan penasihat kanannya mengadakan pertemuan bersama Putera Mohammed di Riyadh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button