Berita Utama

Patriot berniat jahat, ISMA gesa tarik balik kenyataan

Tidak adil bezakan antara arak dan rasuah, kedua-duanya mesti dibanteras

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Tindakan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengecam usaha larangan penjualan minuman beralkohol dan mempersoal pihak berkuasa jika perbuatan meminumnya lebih berbahaya daripada rasuah sangat tidak berasas. 

Menyifatkannya sebagai berniat jahat, Timbalan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni menggesa, Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji menarik balik kenyataannya dan kembali berpihak kepada umat Islam di dalam isu berkaitan arak. 

Membandingkan antara mudarat arak dan rasuah adalah tidak kena, kerana kedua-duanya memberikan mudarat daripada sudut yang berbeza. 

“Kedua-duanya mesti diperangi dan dibenteras. Adalah tidak adil untuk menimbulkan persoalan seolah-olah pihak yang ingin membanteras arak tidak kisah dengan gejala rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan Arshad yang mempersoalkan adakah arak lebih buruk daripada rasuah sehingga Kementerian Wilayah Persekutuan memutuskan peraturan penjualannya mulai Oktober tahun depan.

“Cuba beritahu kami mana lebih buruk, minum arak atau rasuah? Mana yang lebih merosakkan masyarakat dan negara kita? Keburukan mana yang paling menarik orang Melayu?

“Beritahu kami antara dua keburukan ini, mana harus diambil tindakan terlebih dulu, menentang larangan minuman keras atau menghapuskan rasuah dalam kalangan masyarakat Melayu,” katanya.

Menyelar kenyataan Arshad, Ustaz Fauzi berkata, arak yang seperti semua sedia maklum adalah merosakkan, hanya digunakan oleh golongan kapitalis untuk mengaut keuntungan berlipat ganda, juga sebagai alat untuk menjauhkan manusia daripada agama dan kehidupan yang baik. 

“Apa juga minuman yang memudaratkan sepatutnya tidak dijual dari peringkat awal lagi. Mengambil keuntungan dari sesuatu yang memudaratkan orang ramai bukanlah tindakan yang boleh dikompromi. 

“Negara juga tidak akan rugi jika tidak dapat mengutip cukai arak kerana sebenarnya kos negara di dalam menguruskan kesan arak kepada kesihatan, kematian, masalah sosial dan sebagainya adalah juga tinggi,” katanya.

Pada masa sama, cadangan Arshad agar larangan penjualan alkohol itu dirunding terlebih dahulu dengan peniaga juga bukanlah jalan menuju kepada penyelesaian. 

“Secara umum kita mendapati sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan arak samada peminum, peniaga, pengilang dan pengeluar mempunyai kaitan dengan pemikiran liberal yang merupakan pemikiran yang telah dirosakkan Barat.

“Malaysia tidak akan menjadi negara Taliban dengan melarang penjualan arak tetapi akan hancur seperti masyarakat Eropah apabila arak menjadi budaya di dalam kehidupan,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button