Berita Utama

Pembalakan haram zalimi manusia, ekosistem hutan

Eksploitasi alam tanpa ilmu langgar larangan Allah, undang-undang kerajaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pembalakan haram yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini bukan sahaja menzalimi manusia, malah kesan buruknya turut menjejaskan hidupan lain di dalam ekosistem hutan.

Justeru, adalah mustahak ketika ini untuk pihak berkuasa segera mengenal pasti punca dan siapa pelaku bagi mengenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Langkah ini perlu untuk mengelakkan lebih banyak aktiviti pembalakan yang berleluasa, membendung kerosakan yang telah berlaku, serta melakukan tindakan pemulihan yang diperlukan.

Ahli Jawatankuasa Pusat Komuniti Penyelidik Sumber Asli dan Alam Sekitar (SALAM), Fadhilah Othman berkata, pembalakan haram di hutan-hutan di negara ini memberi tekanan kepada keseimbangan ekosistem hutan yang menjadi santuari hidupan liar.

Tambahnya, kegiatan itu turut menyebabkan haiwan kehilangan habitat manakala spesis flora dan fauna mengalami kepupusan.

“Selain itu, aktiviti ini selalu terkait dengan pencemaran air, yang mana menyebabkan sungai menjadi semakin kecil dan air bertukar keruh.

“Pembalakan haram juga menjejaskan fungsi hutan sebagai kawasan tadahan hujan dan boleh mengakibatkan tanah runtuh serta banjir kilat di kawasan terjejas serta sekitar.

“Akhirnya, ia akan kembali menjadi mudarat kepada masyarakat setempat. Sebagai contoh, masyarakat orang asli mengalami masalah mendapatkan air bersih dan sumber ekonomi hutan untuk sara hidup,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pencerobohan tanah kerajaan di Pahang yang dilihat semakin berlarutan.

Dalam pada itu, Fadhilah berkata, Islam tidak melarang pembangunan bahkan manusia telah diperintah untuk memakmurkan bumi dalam peranannya sebagai khalifah.

Katanya, Islam sebagai cara hidup yang sempurna memberikan kepada manusia panduan bagaimana cara untuk melaksanakannya.

“Namun, memakmurkan bumi perlu dilakukan dengan berpandu ilmu dan kawalan (syarak dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah).

“Apabila manusia mengeksploitasi alam tanpa ilmu serta melanggar sempadan larangan Allah dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah, maka kerosakan pasti berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button