Berita UtamaDunia

Pengguna saman aplikasi Muslim Pro, dakwa jual data kepada tentera AS

Muslim Pro nafi, komited lindungi data peribadi ikut lunas undang-undang

PARIS, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pengguna aplikasi mudah alih Islam, Muslim Pro yang didakwa menjual data kepada tentera Amerika Syarikat (AS) menyaman syarikat itu, kata peguam mereka.

Bekas pengguna aplikasi Muslim Pro – aplikasi yang mendakwa memiliki 95 juta pengguna di seluruh dunia – telah memfailkan saman setelah laporan media menuduh ia berkongsi data dengan syarikat yang berkaitan dengan tentera AS.

Saman yang difailkan oleh pengguna di Perancis itu, yang dimaklumkan oleh radio RTL Perancis, mendakwa syarikat berkenaan melakukan kesalahan perlindungan data, penyalahgunaan kepercayaan, membahayakan nyawa orang lain dan konspirasi untuk melakukan pembunuhan.

Kes itu dijadualkan akan difailkan hari ini.

Vice Media minggu lalu melaporkan mengenai bagaimana tentera AS membeli data geolokasi pengguna daripada serangkaian aplikasi di seluruh dunia.

Ia termasuk aplikasi Muslim Pro, yang memiliki pilihan geolokasi yang membolehkan pengguna untuk melihat waktu solat dan arah kiblat.

Syarikat itu didakwa menjual data pengguna kepada sebuah syarikat bernama X-Mode, yang menjualnya kepada sub-kontraktor dan tentera, kata Vice.

Pasukan Khas AS kemudian dapat menggunakan data untuk misi luar negeri, kata laporan itu, dengan spekulasi kononnya dapat digunakan untuk menyerang pengganas melalui serangan dron.

Bagaimanapun, Muslim Pro menafikan pihaknya menjual data pengguna kepada pihak ketiga sebelum dibeli tentera AS. 

Menurut kenyataan, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Muslim Pro menjelaskan, maklumat yang diberikan sebelum ini kepada X-Mode bukan data peribadi.

“Pihak Muslim Pro amat komited melindungi data peribadi penggunanya mengikut lunas undang-undang serta peraturan perlindungan data peribadi.

“Hingga kini, sebanyak 72 peratus pengguna applikasi Muslim Pro masih merupakan pengguna yang tidak berdaftar dan ini meningkatkan ketanpanamaan (anonymity) aplikasi tersebut,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button