Berita Utama

Pengusaha kantin, bas sekolah perlu bantuan

iGuru syor beri geran khas supaya pekerja tidak diberhentikan

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menggesa kerajaan membantu pengusaha kantin serta bas sekolah yang terjejas akibat penutupan sesi persekolahan berikutan pandemik COVID-19.

Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, ketika ini pihak pengusaha kantin dan bas menghadapi kesukaran terutama untuk membayar gaji pekerja di bawah mereka.

Serentak itu, beliau menggesa tempoh moratorium dilanjutkan dan distrukturkan semula untuk tempoh enam bulan lagi meskipun kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai bagi pembelian bas baharu.

Jelasnya, dalam situasi sekarang, rata-rata pengusaha bas tidak memerlukan bas baharu.

“iGuru menggesa pihak kerajaan membantu pengusaha kantin dengan pemberian geran khas kepada pengusaha kantin demi menyelamatkan pekerja dari diberhentikan yang ratanya dari mereka dari kalangan B40.

“iGuru juga meminta pihak kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia menangani isu ini dengan menyediakan skim bantuan bagi mengelakkan syarikat bas sekolah menanggung risiko gulung tikar.

“Ini kerana mereka terpaksa menanggung kos operasi walaupun ketika cuti sekolah apatah lagi jika tiada ibu bapa yang mahu membayar yuran akibat penutupan sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada perkembangan sama, Ustaz Azizee bimbang keadaan ini menyebabkan ibu bapa menghadapi kesukaran mendapatkan perkhidmatan bas sekolah untuk sesi persekolahan tahun hadapan.

“iGuru berharap keprihatinan pihak kerajaan terhadap pengusaha bas dan kantin sekolah dapat menyelamatkan mereka dari berdepan masalah ekonomi yang sukar,” katanya.

Pada 8 November lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin mengumumkan semua sekolah di seluruh negara ditutup mulai 9 November hingga ke tarikh akhir sesi persekolahan tahun ini.

Arahan itu turut terpakai kepada negeri-negeri yang tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan COVID-19, iaitu Perlis, Kelantan, Pahang dan Sarawak.

Penutupan itu akan berterusan sehingga hari akhir persekolahan mengikut Takwim 2020, iaitu 17 Disember bagi negeri kumpulan A, dan 18 Disember bagi negeri kumpulan B.

Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara Home-based Learning mengikut kesesuaian guru dan murid.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button