Sistem kesihatan di Gaza hampir lumpuh
Lebih kurang tujuh hari kes kritikal tidak dapat ditangani

GAZA, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran – sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza hampir lumpuh akibat pengepungan negara haram Israel.
Situasi itu semakin bertambah buruk apabila kes coronavirus – yang meragut nyawa 1.4 juta penduduk dunia – kini turut meningkat di wilayah itu.
Penyelaras kesihatan kecemasan WHO di Gaza, Abdelnaser Soboh mengingatkan dalam tempoh seminggu, kes-kes kritikal tidak akan dapat ditangani.
Sebelum ini, anggota pasukan petugas pandemik kawasan kepungan berkenaan, Abdelraouf Elmanama berkata, dari 100 ventilator Gaza, 79 sudah diambil oleh pesakit COVID-19.
“Dalam 10 hari, sistem kesihatan tidak dapat menyerap kenaikan tersebut dan mungkin ada kes yang tidak akan mendapat tempat di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.
Kawasan kepungan ini adalah rumah kepada sekitar dua juta orang yang tinggal berdekatan dan mudah dijangkiti.
Pengepungan Israel selama 14 tahun di Semenanjung Gaza telah menyebabkan perkhidmatan perubatannya hancur dan kawasan itu kekurangan bahan bakar yang teruk. – Agensi