Berita Utama

SPR bermesyuarat 27 November ini bincang PRK Gerik, Bugaya

Mesyuarat khas itu akan bincang tarikh-tarikh penting PRK

PUTRAJAYA, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai tarikh-tarikh penting urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah, pada Jumaat ini.

Dalam kenyataan hari ini, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat khas itu akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada pukul 9.30 pagi, di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR di sini.

“Mesyuarat khas itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya.

Menurut Ikmalrudin, SPR telah menerima pemakluman rasmi kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P.054 Gerik dan DUN N.66 Bugaya, Sabah susulan kematian kedua-dua penyandang kerusi tersebut.

Penyandang kerusi Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov, manakala penyandang kerusi DUN Bugaya, Allahyarhamah Manis Muka Mohd Darah kembali rahmahtullah pada 17 November.

Ikmalrudin berkata SPR menerima pemakluman berkenaan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Gerik daripada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun pada 18 November.

“Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan satu Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,” katanya.

Hasbullah, 63, meninggal dunia pada 16 November di Raub, Pahang akibat sakit jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Gerik dengan undian majoriti sebanyak 5,528.

Bagi kekosongan luar jangka kerusi DUN Bugaya, Ikmalrudin berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Sabah Datuk Kadzim M. Yahya pada 23 November lepas.

“Satu PRK juga akan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut berdasarkan kepada Artikel 21 (5) Perlembagaan Negeri Sabah,” katanya.

Manis Muka, 65, meninggal dunia pada 17 November di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu akibat masalah buah pinggang. Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Bugaya itu pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada 26 Oktober lepas dengan majoriti 6,005 undi, mengatasi enam pencabarnya.

Berikutan situasi semasa penularan wabak COVID-19 di Sabah dan seluruh negara, Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa pengisytiharaan darurat sepertimana dilaksana di Parlimen Batu Sapi akan dipertimbang di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang bakal berdepan PRK.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata bagaimanapun ia bergantung kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Nov telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah, sekali gus membatalkan PRK kerusi itu sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik COVID-19.

Proklamasi darurat itu adalah berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.

PRK Batu Sapi itu perlu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong pada 2 Okt akibat jangkitan paru-paru, dan SPR sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Batu Sapi pada 23 November, hari pengundian pada 5 Disember dan pengundian awal pada 1 Disember.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button