Berita Utama

Sultan Johor nasihat rakyat berhati-hati ketika cuaca tak menentu

Titah jabatan kerajaan perlu membuat persiapan sepenuhnya

JOHOR BAHRU, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini bertitah menasihati rakyat di seluruh daerah negeri ini supaya sentiasa berhati-hati berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Johor, baginda bertitah beberapa kawasan dinaiki air berikutan hujan lebat pada masa sekarang hingga segelintir penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Baginda bertitah Kerajaan Negeri Johor, jabatan serta agensi kerajaan termasuk pasukan keselamatan juga perlu membuat persiapan sepenuhnya dalam menghadapi cuaca tidak menentu tersebut.

“Pada masa sama, pastikan mangsa-mangsa yang ditempatkan di PPS diberikan kemudahan secukupnya, di samping mengambil langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Begitu juga, penduduk yang menetap berhampiran kawasan rendah perlu sentiasa berhati-hati serta sentiasa patuh pada nasihat pihak berkuasa,” titah Sultan Johor, menerusi hantaran terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button