Berita Utama

Tiada pembalakan haram di Hutan Simpan Lenggor

Penebangan pokok ada permit Jabatan Perhutanan Negeri Johor

KLUANG, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada tanda pembalakan haram ditemui di dalam Hutan Simpan Lenggor, seperti yang dilaporkan orang awam.

Beliau berkata, pihaknya melancarkan operasi bersama bermula jam 7 pagi sehingga 6 petang di hutan yang didakwa diceroboh untuk kegiatan pembalakan haram.

Katanya, aktiviti penebangan pokok di hutan itu mempunyai permit yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Johor.

“Kira-kira 80 pegawai dan anggota daripada kedua-dua pihak terbabit dalam tinjauan bermula awal pagi tadi hingga lewat petang ini dan hasilnya mendapati kerja pembalakan dilakukan mengikut permit dikeluarkan.

“Apabila sampai di lokasi dilaporkan iaitu di kompartment 197, polis dapati kayu-kayu balak itu adalah yang lama sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Kahang, hari ini.

Ayob berkata, polis akan terus menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perhutanan Negeri Johor untuk menjejaki setiap kegiatan pembalakan haram di negeri ini bagi memastikan tiada aktiviti menyalahi undang-undang berlaku.

“Insya-Allah, kita akan beroperasi dengan Jabatan Perhutanan jika ada maklumat. 

“Kita akan menyiasat sama ada betul atau tidak betul aduan pembalakan haram di Kluang yang disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button