Berita Utama

Usaha gagalkan Belanjawan 2021 tak bertanggungjawab!

Rakyat muak perbalahan politik, mahu negara stabil

BANGI, 8 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Semua Ahli Parlimen dituntut untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

Perbalahan antara pemimpin dan parti politik yang dikhabarkan dalam usaha menggagalkan Belanjawan 2021, adalah tindakan tidak bertanggungjawab serta berlawanan dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Mengikuti setiap perkembangan politik semasa terutamanya mengenai Belanjawan 2021, Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan Ahli-Ahli Parlimen akan keadaan rakyat marhaen yang sedang dalam kesusahan.

Khususnya ketika mengharungi tempoh-tempoh getir sepanjang krisis ekonomi yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang semakin kritikal.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, rakyat sudah muak dengan perbalahan politik yang hanya menguntungkan pihak dan individu tertentu.

Beliau yakin apa yang rakyat mahukan adalah kestabilan negara ketika memerangi wabak COVID-19 dan berusaha untuk menangani krisis ekonomi yang melanda negara kini.

“PEMBELA sedar ketidakstabilan ini boleh menyebabkan Parlimen dibubarkan dan pilihan raya terpaksa diadakan dalam tempoh terdekat.

“Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita agar tidak mengulanginya dengan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pula. Jika politik negara stabil, PRU akan diadakan juga sekitar dua tahun lagi.

“Maka, ahli-ahli politik perlu bersabar kerana tempoh itu tidaklah begitu lama tetapi mungkin cukup untuk rakyat menstabilkan kehidupan mereka dalam mengharungi krisis yang melanda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Atas dasar itu, PEMBELA menuntut agar semua ahli politik khususnya Ahli Parlimen untuk memastikan Belanjawan 2021 ini dapat diluluskan demi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara serta sejajar dengan saranan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

“Namun, ini tidak bermakna PEMBELA bersetuju dengan segala yang dicadangkan. Kami yakin ada caranya untuk mengubah intipati belanjawan tanpa menggagalkannya.

“Kami pasti ahli-ahli politik juga menyedari akan hal ini agar ada kepekaan untuk mengutamakan rakyat dan negara dari kepentingan diri atau parti masing-masing,” katanya.

Seri Paduka Baginda sebelum ini mengingatkan pemimpin supaya berhenti politiking dan mahukan semua anggota Dewan Rakyat mengutamakan kepentingan rakyat dengan meluluskan belanjawan negara.

Terdahulu, media melaporkan kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan selepas Barisan Nasional (BN) dan pembangkang mengemukakan beberapa tuntutan sebagai sokongan bersyarat.

Antara tuntutannya ialah membenarkan pengeluaran simpanan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, selain mempertikaikan cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas Jasa (JASA) dengan peruntukan besar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button